BANGI: Ibu bapa digalak menghantar anak mereka yang berkeperluan khas, khususnya golongan belia autistik mengikuti kursus kemahiran disediakan Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS).
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata langkah itu bagi memastikan golongan berkenaan mendapat peluang latihan dan kemahiran yang dapat membantu mereka berdikari serta menyumbang kepada masyarakat.
“Kita ada ramai belia yang dilatih setiap tahun dan saya percaya kursus percuma ini, ibu bapa sepatutnya mengambil peluang hantar anak mereka ke ILKBS,” katanya selepas merasmikan Konvokesyen ILKBS ke-20 di sini, hari ini.
Difahamkan, sejak pengenalan kursus khas untuk belia autistik pada 2018, sebanyak 343 graduan berjaya menamatkan latihan dan 48 orang lagi menerima sijil mereka hari ini.
Hannah berkata, ILKBS bukan saja melatih golongan belia mendapat kemahiran, malah ramai alumni menjadi usahawan berjaya dan menyumbang kembali kepada institut dengan mengambil pelatih baharu bekerja serta memberikan bantuan dalam bentuk kepakaran.
“Setiap tahun, kami jejaki mereka, jadi kita ada ramai alumni yang menjadi usahawan dan kemudian mengambil junior bekerja dengan syarikat mereka.
“Selain itu, mereka juga datang semula ke ILKBS dan memberikan sumbangan dalam pelbagai bentuk,” katanya.
Terdahulu dalam ucapan perasmian, Hannah berkata, kadar kebolehpasaran lepasan ILKBS kini mencecah 97 peratus dan angka itu jauh mengatasi sasaran asal dan memberikan keyakinan laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ialah jalan sahih untuk masa depan belia Malaysia.
“KBS melalui ILKBS bukan pemain kecil dalam landskap TVET negara. Kita antara peneraju utama pendidikan TVET dan kini menganggotai Majlis TVET Negara, serta terus memastikan suara belia didengari dalam hala tuju dasar kemahiran negara.
“Lebih membanggakan, ILKBS juga komited menjadi juara dalam menyediakan peluang latihan khas kepada belia autistik menerusi pelaksanaan Program Inklusiviti Belia Autisme dan Berkeperluan Khas di beberapa ILKBS terpilih,” katanya.
Sejumlah 3,240 graduan ILKBS akan menerima sijil sebagai pengiktirafan bagi peringkat diploma lanjutan, diploma, sijil lanjutan dan sijil bagi sesi di Semenanjung Malaysia, manakala di Sabah, sebanyak 171 orang akan menerima sijil pelbagai peringkat pengajian pada 27 September serta 97 orang di Sarawak pada 4 Oktober ini.– BERNAMA