ISKANDAR PUTERI, 19 September – Penubuhan Tribunal Anti Buli diyakini mampu mempercepat penyelesaian kes sekali gus meningkatkan kesedaran masyarakat untuk tidak terlibat dalam gejala buli.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata keberkesanan itu berasaskan pengalaman Tribunal Anti Gangguan Seksual yang mula beroperasi pada Mac tahun lalu dan berjaya menurunkan jumlah laporan kes.
“Dengan adanya sistem Tribunal Anti Buli ini, mereka yang menjadi pelaku akan berfikir banyak kali sebelum melakukan kesalahan kerana ada satu sistem yang lebih pantas,” katanya.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan cadangan meluaskan skop Rang Undang-Undang (RUU) Tribunal Anti Buli kepada individu berumur 18 tahun ke atas masih di peringkat kajian hasil maklum balas pelbagai pihak.
“Sama ada kita nak fokus akta ini kepada bawah 18 tahun di bawah Akta Kanak-Kanak, atau dibuka kepada semua peringkat umur, ia mungkin melibatkan Kementerian Pendidikan, KPT, sektor awam, swasta, maktab ketenteraan dan juga polis,” jelasnya.
Datuk Seri Azalina berkata demikian ketika menghadiri Sesi Townhall Tribunal Anti Buli di Iskandar Puteri.-BH Online