SUNGAI PETANI: Orang ramai diingatkan segera menyemak cip MyKad bagi memastikan ia berfungsi dengan baik sebelum pelaksanaan subsidi minyak RON95 secara bersasar tidak lama lagi.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata penggunaan MyKad akan menjadi lebih intensif apabila program subsidi bersasar dilaksanakan kerana setiap pembelian minyak di stesen akan memerlukan pengesahan melalui MyKad.
“Kalau sebelum ini, pengguna hanya masukkan kad kredit, kad debit atau kad kesetiaan sebelum mengisi minyak, kini langkah pertama adalah dengan memasukkan MyKad bagi mengesahkan bahawa kita rakyat Malaysia.
“Selepas itu barulah pembayaran boleh dibuat sama ada menggunakan kad, e-dompet atau tunai di dalam kedai, rakyat kita boleh dapat harga petrol RON95 yang dijangka turun kepada harga RM1.99 seliter hujung bulan ini, ” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Komuniti Korektif Kampung Angkat Madani Jabatan Penjara Malaysia diPusat Reintegrasi Penghuni Kuala Muda di sini, hari ini.
Saifuddin Nasution berkata keperluan MyKad sebagai dokumen pengesahan adalah penting kerana setiap hari terdapat lebih dua juta transaksi minyak di lebih 4,000 stesen seluruh negara.
Katanya, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kini merekodkan kira-kira 1,000 kes penggantian MyKad rosak setiap hari di pejabat JPN seluruh negara, iaitu bersamaan 30,000 sebulan atau 360,000 setahun.
“Bayangkan sebelum ini, kita beli minyak tidak perlu MyKad. Sekarang ia wajib. Sebab itu saya ingatkan semua rakyat supaya menyemak cip MyKad lebih awal, jangan tunggu sehingga hari pelaksanaan baru tahu kad rosak
“Kalau 30,000 orang itu tidak dapat beli minyak pada hari pertama subsidi dilaksanakan, mereka akan marah. Jadi sekaranglah masanya untuk semak cip MyKad masing-masing,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata, setakat ini lebih 24 juta MyKad dikeluarkan kepada rakyat Malaysia dan setiap kad itu tidak mempunyai had tempoh hayat pada cipnya.
“Cip MyKad tidak seperti cip kad prabayar lain yang ada tarikh luput.
“MyKad boleh digunakan tanpa tempoh hayat, tetapi ia perlu disemak untuk pastikan masih berfungsi,” katanya.
Beliau turut meminta Ketua Pengarah JPN, Badrul Hisham Alias memastikan proses penggantian MyKad rosak dipermudahkan bagi mengelakkan kesesakan di pejabat pendaftaran.
“JPN sedang usahakan proses penggantian MyKad siap dalam masa 30 minit sahaja. Itu perlu dihebahkan supaya orang ramai tidak bimbang,” katanya.
Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata pengumuman mengenai pelaksanaan subsidi bersasar berkenaan akan diumumkan Kementerian Kewangan.-BH Online