Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEPANG: Prosedur pelepasan kastam perlu dipermudahkan sebagai menyokong usaha sama hab berkembar Malaysia-China menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini dan Lapangan Terbang Antarabangsa Zhengzhou Xinzheng (CGO) di Henan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata ia bagi memastikan kecekapan proses kemasukan kargo antara kedua-dua lapangan terbang itu, sekali gus melancarkan pergerakannya.

Ketika ini, beliau berkata, Kerajaan China juga sedang memudahkan urusan pelepasan kastamnya untuk barangan yang dibawa masuk dari KLIA.

“Barangan dari Kuala Lumpur yang masuk ke China, ia akan permudahkan pelepasan kastamnya. Itu sangat-sangat utama.

“Jadi, apa yang penting ialah pada peringkat kita di KLIA, kita juga perlu memastikan kemudahan infrastruktur kita mesti siap sedia. Kita mesti efisien dari segi pergerakan barangan, termasuk pelepasan kastam.

“Sudah tentu di pihak Malaysia Airports Holdings Berhad dan Kementerian Pengangkutan, kita perlu berunding serta berbincang dengan pihak kastam supaya permudahkan proses,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Forum Kerjasama Antarabangsa Laluan Udara Sutera Zhengzhou-Kuala Lumpur yang turut dihadiri Gabenor Wilayah Henan, Wang Kai, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Loke berkata, kemudahan berkenaan akan membolehkan Malaysia menjadi pilihan negara ASEAN untuk menghantar kargo mereka ke China.null

Beliau berkata, ia kerana kelancaran pergerakan kargo udara akan dapat merendahkan kos, selain menjimatkan masa sesuatu kargo itu memasuki negara ini atau China.

“Ini akan menjadikan Malaysia pilihan negara ASEAN… menggunakan lapangan terbang kita sebagai hab untuk membawa barangan mereka ke China.

“Kalau mereka hendak pergi terus (ke China), mungkin lagi sukar dan mahal,” katanya.

Justeru, Loke berkata, adalah penting untuk syarikat-syarikat penerbangan negara ini memiliki rangkaian cukup besar yang mencakupi lapangan terbang di negara-negara ASEAN. 

Beliau berkata, Malaysia ada kelebihan ketersambungan penerbangan yang bagus dalam rantau ASEAN melalui syarikat penerbangan di negara ini.

Namun, katanya, syarikat penerbangan negara juga perlu meningkatkan kekerapan penerbangan ke China untuk merancakkan pergerakan kargo serta manusia.

“Kita mahu meningkatkan perdagangan serta pelaburan, dan itu memerlukan kesalinghubungan lebih baik. Salah satu fokus ialah menambah bilangan penerbangan terus antara Zhengzhou dengan Kuala Lumpur,” katanya.-BH Online