Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI) merupakan gagasan masa depan yang kini menjadi realiti dan sedang dirintis Malaysia dalam usaha membangunkan kota pintar berlandaskan prinsip-prinsip MADANI.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerusi hantaran di akaun Facebook beliau berkata, ikhtiar membangunkan Kota MADANI dan Smart City Kuala Lumpur adalah tekadnya supaya negara dapat bersaing dalam bidang ekonomi dan inovasi, di samping menegakkan keadilan sosial, kelestarian alam serta maruah nasional. 

“Kota pintar berlandaskan prinsip-prinsip MADANI adalah wahana bagi memperkasakan rakyat, memperluas akses kepada peluang-peluang yang ada, serta memastikan setiap warga merasa dan menikmati manfaat daripada kemajuan teknologi.

“Namun, kota yang benar-benar pintar tidak hanya berlandaskan teknologi semata, tetapi mesti menjadi ruang hidup yang inklusif, lestari dan berbudaya,” katanya.

Menurut Anwar, Ibnu Khaldun dalam bukunya ‘Muqaddimah’ menegaskan menerusi teori Umran Hadari bahawa kota ialah pusat atau pangkalan tamadun, sementara novelis dan pemikir Amerika Syarikat (AS), Mark Twain mengingatkan bahawa sebuah kota tidak seharusnya menjadi ‘hutan konkrit yang tandus budaya’.

Sehubungan itu, katanya Malaysia mesti membangunkan kota yang canggih secara teknologi tetapi kekal mengakar pada jati diri, nilai dan warisan khazanah bangsa.-BERNAMA