KUALA LUMPUR, 18 September – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menganjurkan Program Skuad Waja Siswa Peringkat Wilayah Persekutuan di UTM Kuala Lumpur, hari ini.
Program berkenaan bertujuan memperkasa mahasiswa dengan ilmu serta kesedaran mengenai isu jenayah dan keselamatan diri, khususnya melibatkan gangguan seksual dan keganasan terhadap wanita.
Ia selaras dengan Pelan Tindakan Women, Peace and Security (WPS) serta komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan kesejahteraan masyarakat.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 1,300 kes jenayah seksual melibatkan rogol, sumbang mahram, cabul dan gangguan seksual dilaporkan bagi individu berusia 18 tahun ke atas.
“Sebab itu kita melaksanakan intervensi, dan salah satunya melalui program yang dinamakan Skuad Waja. Program ini memberi ilmu kepada mahasiswa, khususnya tentang cara membuat laporan dengan betul,” katanya selepas merasmikan program berkenaan.
Selain pendedahan mengenai pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial, program tersebut turut membimbing mahasiswa menghadapi cabaran berkaitan keselamatan diri dan komuniti.
Dr. Noraini turut menggalakkan siswa membantu rakan atau jiran yang mungkin menjadi mangsa dengan melaporkan kes kepada pihak berkuasa.
Setakat ini, keahlian Skuad Waja dalam kalangan mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) telah mencecah 2,129 orang di seluruh negara, dengan modul khas JPW memberi tumpuan kepada ilmu asas psikologi, kemahiran melaporkan jenayah serta informasi berkaitan isu keganasan.-Berita RTM