Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Senarai kerosakan yang dikemukakan Jawatankuasa Bencana Negeri Sabah akan diteliti bagi menentukan bentuk bantuan kepada penduduk terjejas, termasuk sama ada rumah yang rosak perlu dibaik pulih atau dibina semula.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata bantuan yang telah diagihkan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan disusuli dengan penilaian terperinci di peringkat negeri dan daerah.

“…bantuan yang telah disalurkan oleh NADMA pada Jawatankuasa Bencana Negeri dan Daerah telah kita agihkan. Dan kita sedang meneliti dari senarai yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Bencana Negeri yang diketuai oleh Datuk Seri Panglima Safar Untong, untuk melihat senarai rumah-rumah yang musnah yang perlu dibina semula dan juga rumah-rumah yang rosak dan kita akan bekerjasama dengan pihak negeri dan daerah untuk memperbaiki dan membina semula.”

Beliau berkata demikian selepas meninjau keadaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Keramat Putatan, sejurus tiba dari ibu negara.

Datuk Seri Ahmad Zahid turut memaklumkan, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kor Jurutera Angkatan Tentera Malaysia digerakkan bagi menyegerakan pembinaan infrastruktur perhubungan, termasuk jambatan sementara, sebelum pembinaan jambatan kekal dilaksanakan.

Selain itu, bantuan akan melibatkan kerja membaik pulih rumah yang boleh diselamatkan, pemulihan pendawaian elektrik serta pembersihan kawasan terjejas.

Terdahulu, sebaik tiba di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada 7.40 malam, Datuk Seri Ahmad Zahid menerima taklimat daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Safar Untong.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat kemudian meninjau PPS di daerah Putatan untuk melihat sendiri situasi dan keperluan mangsa bencana.-Berita RTM