PAPAR: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan membina sebuah pusat pemindahan kekal (PPK) di Bongawan tahun ini bagi memberi bantuan dan memindahkan penduduk yang terjejas akibat bencana terutamanya banjir.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pihaknya akan membincangkan perkara itu dengan lebih teliti terutamanya mengenai lokasi yang bersesuaian, bersama-sama dengan pihak terlibat antaranya Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah.
“Saya melawat tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) dan mendapati keperluan untuk membina PPK di Bongawan sangat mendesak memandangkan kawasan tersebut kerap dilanda banjir.
“Kita akan menyediakan kemudahan bukan sahaja bilik air dan bilik mandi, tetapi juga tempat memasak apabila sukarelawan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat menyediakan makanan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, beliau melawat dan menyantuni mangsa kejadian tanah runtuh di Kampung Mook, Kinarut di sini, yang mengorbankan Emily Johnny, 38, dan anaknya Xarell Myre Aristothle, 11, dalam kejadian pada Isnin lalu.
Pada hari ini, beliau meluangkan masa melawat mangsa banjir dan tanah runtuh di beberapa daerah di Papar, Membakut dan Bongawan yang terjejas akibat bencana itu.
Ahmad Zahid berkata peruntukan telah disediakan untuk pembinaan PPK Bongawan itu dan pihaknya akan berusaha mempercepat pembinaan itu mengikut prosedur dan peraturan kerajaan.
Beliau berkata PPK kedua di Sabah itu, selepas PPK Selagon di Beaufort yang beroperasi tahun lepas, juga akan digunakan sebagai pusat aktiviti komuniti di luar musim banjir bagi dimanfaatkan oleh masyarakat setempat.
“Kita telah mempunyai acuannya (PPK Selagon) dan mungkin kita akan menambah baik lagi (PPK Bongawan) daripada segi keluasan dan kemudahan. PPK serupa kita mahu dibina di daerah lain di Sabah, bergantung kepada peruntukan yang disalurkan oleh Kementerian Kewangan,” katanya.
Selain itu, Timbalan Perdana Menteri juga menyatakan kerajaan bersedia membantu mangsa banjir dan tanah runtuh yang kehilangan kediaman sama ada melalui pembinaan rumah baharu atau pembaikan rumah sedia ada.
“Saya bagi pihak kerajaan ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa tanah runtuh. Terima kasih kepada kerajaan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) dan semua jabatan serta agensi yang telah memperlihatkan kerja yang pantas untuk menyelamatkan mangsa,” katanya. – BERNAMA