Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

GEORGETOWN: Pulau Pinang mewartakan pindaan sempadan bandar dengan memperluas sempadan 10 bandar sedia ada dan mewujudkan 25 bandar baharu di seluruh negeri.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata keputusan itu dibuat menerusi Warta Kerajaan Negeri Pulau Pinang bertarikh 4 September 2025 selaras peruntukan Seksyen 11(ca) dan 11(d) Kanun Tanah Negara (Akta 828).

“Pindaan itu membabitkan lebih 210,000 hak milik tanah dan 184,000 hak milik strata yang akan diklasifikasikan semula mengikut status tanah baharu.

“Langkah ini amat penting bagi menyelaraskan semula klasifikasi tanah di seluruh negeri supaya seiring dengan kepesatan pembangunan ekonomi dan sosial di kawasan terbabit,” katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Kon Yeow berkata, selepas pewartaan itu, secara keseluruhannya Pulau Pinang mempunyai 42 bandar membabitkan 10 bandar diperluas sempadan, 25 bandar baharu, manakala tujuh bandar dikekalkan sempadan.

Beliau berkata, kali terakhir pewartaan bandar sedia ada dilakukan pada 1966 dan sejak itu banyak kawasan kekal berstatus desa sudah membangun pesat seperti Bayan Baru, Bukit Jambul, Seberang Jaya, Bandar Perda, Bandar Cassia, Simpang Ampat, Telok Air Tawar dan Bertam.

Katanya, berdasarkan hierarki bandar, Georgetown terus dikekalkan sebagai Bandar Wilayah, manakala tujuh lagi kawasan dikenali sebagai Bandar Utama iaitu Balik Pulau, Batu Kawan-Cassia, Bayan Baru, Bukit Mertajam, Butterworth, Kepala Batas dan Nibong Tebal.

“Selain itu, 31 kawasan lain di seluruh negeri turut diwartakan Bandar Tempatan termasuk Batu Ferringhi, Tanjong Bungah, Tanjung Pinang, Ayer Itam, Bayan Lepas, Bertam, Tasek Gelugor, Telok Air Tawar, Seberang Jaya, Prai, Simpang Ampat, Sungai Bakap, Juru dan Jawi.null

“Jabatan Perancang Bandar dan Desa Pulau Pinang (PLANMalaysia) memaklumkan 11 kriteria dijadikan panduan sempadan sesuatu bandar, antaranya saiz penduduk, topografi, kawasan sensitif alam sekitar, pembangunan komited serta potensi ekonomi dan sosial. 

“Melalui semakan sempadan bandar ini, kerajaan negeri yakin dapat memperkukuh sistem pengurusan tanah dan cukai bagi memastikan pembangunan lebih tersusun,” katanya.

Kon Yeow berkata, pindaan itu turut membabitkan perubahan kadar cukai tanah dan cukai petak yang akan berkuat kuasa mulai 2026, selaras perubahan status tanah daripada desa kepada bandar.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan negeri bersetuju menangguhkan pelaksanaan kadar baharu cukai petak strata membabitkan lebih 184,000 hak milik sehingga 2027, bagi mengurangkan beban pemilik.– BERNAMA