Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Polis berdepan kesukaran mengenal pasti suspek serangan anak bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya pada 13 Ogos lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata siasatan mendapati rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian tidak jelas sekali gus menyukarkan pengecaman suspek.

Menurutnya, walaupun beberapa individu dikesan melalui rakaman itu, pengesahan lanjut belum dapat dibuat.

“Kita mengesan pergerakan itu. Kita pun sedia maklum bahawa ada beberapa individu yang kita kenal pasti melalui rakaman, tetapi rakaman litar (CCTV) itu nampaknya tidak begitu jelas dan individu tidak dapat dikenali,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, hari ini

Mengulas lanjut, Mohd Khalid berkata pihaknya juga masih menunggu laporan daripada hospital mengenai jenis cecair yang disuntik ke tubuh mangsa.

“Siasatan itu dibuat oleh pihak hospital. Jadi kita masih lagi menunggu beberapa maklumat daripada pihak hospital,” katanya.

Sabtu lalu, Rafizi ketika bercakap dengan sebuah portal berita tempatan memaklumkan beliau belum menerima sebarang perkembangan terbaru daripada pihak polis mengenai kes serangan terhadap anaknya yang berlaku pada 13 Ogos lalu itu.

Terdahulu, Rafizi mendedahkan anaknya diserang secara tiba-tiba apabila ditarik oleh seorang lelaki sebelum dicucuk dengan jarum suntikan dalam insiden pada 12 Ogos lalu di Putrajaya.

Setakat ini, polis sudah merekod keterangan saksi dan meneliti rakaman CCTV bagi membantu siasatan, namun belum ada tangkapan dilakukan.

Media sebelum ini melaporkan kejadian berlaku sekitar jam 1.45 tengah hari ketika anak dan isterinya baru memasuki kereta untuk beredar dari lokasi dan anaknya ditarik secara tiba-tiba serta dicucuk dengan jarum suntikan.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan dilaporkan berkata, hasil semakan awal mendapati, dua lelaki menaiki sebuah motosikal mengekori kenderaan isterinya sebelum insiden di mana kedua-duanya berpakaian serba hitam, bertopi keledar penuh yang menutup muka.

Katanya, suspek dipercayai menunggu sebelum bertindak menyerang pada masa yang sesuai.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, dilaporkan berkata pihaknya mengesan dua individu bermotosikal dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan.

Katanya, polis sudah mengenal pasti motosikal terbabit namun pemeriksaan mendapati nombor pendaftaran digunakan adalah palsu.

“Penyerang dikesan dua orang tetapi identiti suspek belum dikenal pasti,” katanya.

Bagaimanapun, katanya anak lelaki Rafizi yang berusia 12 tahun dilaporkan tidak mengalami kecederaan fizikal.-BH Online