PUTRAJAYA: Kenyataan seorang wakil rakyat pembangkang mendakwa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) gagal mendahulukan kepentingan anak tempatan dalam kemasukan ke lima universiti penyelidikan (RU) negara, disifatkan tidak benar dan amat mengelirukan.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Azlinda Azman, menegaskan pihaknya tidak pernah sesekali menganak tirikan pelajar tempatan, sebaliknya mereka sentiasa diberi keutamaan untuk melanjutkan pelajar ke universiti berkenaan.
“Bagi program pra siswazah, jumlah kemasukan pelajar antarabangsa adalah terhad dengan keutamaan diberikan kepada pelajar tempatan.
“Untuk rekod di lima RU bagi peringkat pra siswazah, jumlah pelajar tempatan adalah 91.6 peratus manakala pelajar antarabangsa hanya 8.4 peratus.
“Dan fokus utama adalah kepada program ijazah sarjana muda dengan subsidi disediakan kepada kepada anak tempatan sahaja,” katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra merangkap EXCO Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah sebelum ini mendakwa (KPT gagal mendahulukan kepentingan rakyat tempatan, khususnya dalam isu peluang pendidikan tinggi dan pekerjaan untuk graduan muda, sehingga menyebabkan berlaku tragedi bangsa.
Berucap pada Muktamar Tahunan PAS Ke-71, di Kedah baru-baru ini, bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) itu mendakwa lima RU menawarkan 180,000 tempat, dan 21 peratus daripadanya diisi oleh pelajar asing.
Mengulas lanjut, Azlinda berkata, dakwaan dibuat oleh ADUN terbabit mengelirukan masyarakat khususnya berhubung dasar pengantarabangsaan pendidikan tinggi Malaysia.
Katanya, sehingga 31 Disember 2024, jumlah pelajar tempatan di lima RU adalah seramai 180,024 orang dengan perincian seramai 141,636 orang (78.7 peratus) manakala 38,388 (21.3 peratus) lagi adalah pelajar asing bagi kedua-dua peringkat pra siswazah dan pasca siswazah.
“Bagi peringkat pasca siswazah, ia bersifat terbuka, tiada had kemasukan pelajar antarabangsa kerana setiap universiti awam menerusi dasar pengantarabangsaan pendidikan tinggi giat mempromosikan kualiti dan kesohoran universiti masing-masing.
“Sebenarnya data kedua-dua peringkat pengajian ini tidak boleh digabungkan kerana kedua-dua peringkat pengajian ini mempunyai dasar yang berbeza,” katanya.
Azlinda berkata, sebagai bekas Naib Canselor, ADUN terbabit seharusnya tahu dan faham mengenai pengoperasian universiti dan jumlah peratusan pelajar tempatan serta antarabangsa.
“ADUN itu sendiri dalam satu kenyataan pada 11 Oktober 2022 ketika masih menjadi Naib Canselor memaklumkan bahawa universiti kendaliannya mencatatkan peningkatan kemasukan penuntut antarabangsa sebanyak 13.97 peratus bagi sesi 2022/2023.
“Kenyataan ini jelas menunjukkan bahawa beliau sendiri ketika menjadi Naib Canselor bersetuju dan mengaplikasikan dasar pengambilan pelajar antarabangsa di universiti berkenaan,” katanya.
Justeru, Azlinda berkata KPT sentiasa cakna dan komited dalam menyediakan tempat kepada calon tempatan dan tiada sebarang diskriminasi kepada rakyat tempatan untuk mengikuti pengajian di universiti awam.-BH Online