Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan merangka kawal selia khusus bagi sektor ekonomi altitud rendah merangkumi penggunaan dron, mobiliti udara serta teknologi baharu berkaitan penerbangan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata langkah itu penting bagi memastikan pembangunan pesat teknologi udara dan aplikasi komersial lain dapat berkembang dengan selamat serta berdaya saing.

“Kita perlu ada kerangka regulatori sebab ini sesuatu yang sangat penting dan ekonomi altitud rendah ini membabitkan pelbagai koordinasi. 

“Umpamanya dron perlu ada satu tempat untuk berlepas dan mendarat, untuk bagaimana mereka perlu fleksibel, jadi semua itu memerlukan kawal selia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis pelancaran identiti baharu CAAM di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi CAAM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi dan Ketua Pegawai Ekesekutifnya, Datuk Kapten Norazman Mahmud.

Loke berkata, rangka kawal selia itu bagaimanapun tidak boleh bersifat ‘over-regulate’ (terlalu mengawal selia) supaya ia tidak membunuh industri berkenaan.

“Kalau kita terlalu ‘over-regulate’, susah untuk mana-mana pemain industri itu masuk dalam pasaran, tetapi pada masa sama ada aspek keselamatan yang perlu kita ambil kira.

“Jadi pertimbangan ini sangat penting dan ini perlu dilaksanakan oleh pihak CAAM sebab apa sahaja industri baharu tanpa satu kerangka kawal selia yang jelas, ia tidak boleh ‘take-off’ terutama dalam bidang seperti yang membabitkan penerbangan ini.

“Justeru, aspek keselamatan menjadi perkara paling utama yang akan diambil kira dalam merangka kawal selia sektor terbabit,” katanya.

Mengenai pelantikan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Loke berkata, perkara itu akan dipertimbangkan dari semasa ke semasa.

“Kami tidak bergegas kerana kami mahu mencari orang yang sesuai dengan untuk memasuki kedudukan ini,” katanya.-BH Online