KUALA LUMPUR, 15 September – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menggesa semua agensi tindak balas memberi tumpuan sepenuhnya terhadap Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) mangsa bencana di Sabah.
Menurutnya, usaha mengesan serta mengeluarkan mangsa tertimbus akibat tanah runtuh perlu dipergiat segera, selain menyelamatkan mangsa banjir yang masih terperangkap.
“Saya menggesa agar Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) yang digerakkan oleh agensi tindak balas dapat memberi tumpuan penuh kepada usaha mengesan serta mengeluarkan mangsa yang tertimbus akibat tanah runtuh selain menyelamatkan mangsa banjir,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahmad Zahid turut memaklumkan, situasi banjir di Sabah sejak 9 September lalu kini semakin meruncing, melibatkan enam daerah dengan insiden tanah runtuh dan kebakaran turut dilaporkan.
Beliau berkata, satu Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah telah diadakan hari ini bagi menyelaras tindakan semua agensi yang terlibat.
Selain Sabah, tiga negeri lain turut terkesan iaitu Perak, Selangor dan Negeri Sembilan menjelang penghujung Monsun Barat Daya, menurut laporan NADMA pada jam 4.30 petang tadi.
Kerja baik pulih infrastruktur, pemulihan bekalan elektrik dan air serta pembersihan kawasan bencana kini sedang giat dijalankan oleh agensi berkaitan dengan kerjasama kerajaan negeri.
Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada NGO dan komuniti setempat yang menyalurkan bantuan kemanusiaan, termasuk makanan, keperluan harian, selimut dan peralatan asas lain.
Orang ramai diingatkan sentiasa bersedia dengan beg kecemasan, patuhi arahan pemindahan, serta jauhi kawasan berisiko seperti sungai, cerun dan kabel elektrik terdedah.-BH Online