KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dijadualkan menghadiri Forum Beijing Xiangshan ke-12 di Beijing selama tiga hari bermula Rabu ini.
Forum keselamatan dan pertahanan yang bertemakan `Menegakkan Aturan Antarabangsa dan Memupuk Pembangunan Keamanan Bersama’ itu mengumpulkan pemimpin dan delegasi dari lebih 100 negara.
Selain itu, beliau juga akan menyampaikan pendirian dan pandangan negara pada sesi plenari kedua pada Khamis ini.
Dalam kenyataan menerusi Facebook, Mohamed Khaled memaklumka tiba di Beijing lewat malam tadi untuk lawatan kerja selama empat hari bermula hari ini iaitu lawatan pertama beliau ke republik berkenaan selaku menteri pertahanan.
Dalam rangka lawatan juga, beliau dijadual mengadakan pertemuan bilateral dengan Menteri Pertahanan Nasional, Laksamana Dong Jun; Menteri Pembangunan Peralatan, Suruhanjaya Ketenteraan Pusat, Jeneral Xu Xueqiang dan Menteri Hal Ehwal Veteran, Pei Jinjia.
“Saya juga akan bertemu Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Nasional Kemboja, Jeneral Tea Seiha yang turut menghadiri Beijing Xiangshan Forum,” katanya.
Sepanjang lawatan itu, Mohamed Khaled juga akan mengadakan lawatan dan pertemuan bersama pemain industri terkemuka antaranya CASIC Group, CPMIEC, NORINCO, Sinovac Biotech dan CATIC.
Beliau juga akan menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman antara Boustead Holdings Berhad dan syarikat tempatan.-BH Online
