Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan segera RM10 juta melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi membantu mangsa banjir di Sabah.

Perdana Menteri berkata, dana berkenaan akan digunakan bagi membaik pulih kemudahan asas dengan segera.

“Selain peruntukan RM11 juta yang disalurkan melalui kerajaan negeri, saya meluluskan peruntukan segera sebanyak RM10 juta melalui NADMA bagi disalurkan terus kepada mangsa yang terkesan untuk pembaikan segera kemudahan asas. 

“Kerajaan MADANI akan memastikan setiap keluarga yang terkesan segera menerima bantuan.

“Saya minta semua pihak bersatu dan berpadu tenaga serta mengutamakan semangat ihsan demi membantu rakyat seluruhnya.

“Zahirkan semangat kebersamaan dan kepedulian serta tanggungjawab bersama dalam menempuh ujian dahsyat ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini. 

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) sebelum ini memaklumkan, 415 mangsa banjir daripada 113 keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) dan sebuah pusat pemindahan kekal di negeri itu setakat jam 8 pagi tadi.

Sebanyak 14 kampung di Penampang dan lapan di Beaufort terjejas akibat banjir.

Anwar mengakui sangat terkesan dengan bencana banjir yang melanda negeri itu. 

Justeru, beliau turut mengarahkan seluruh jentera Kerajaan MADANI digerakkan segera untuk membantu rakyat terjejas supaya bantuan dapat sampai tanpa gangguan.

“Keutamaan kita adalah memastikan keselamatan, kebajikan dan kelangsungan hidup mangsa banjir dibela sebaiknya dengan tumpuan segera,” katanya.-BH Online