KUALA LUMPUR: Dunia memerlukan pemimpin yang sarat sifat belas kasihan, nilai murni serta berpihak kepada kemanusiaan dalam menghadapi cabaran global semasa termasuk perubahan iklim, ketidaktentuan ekonomi dan ketegangan geopolitik, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, pemimpin sejati harus menolak penindasan dan penjajahan, selain memperjuangkan hak serta maruah manusia tanpa mengira latar belakang.
“Kita mesti mempunyai pemimpin yang ada sifat belas kasihan, memahami serta percaya kepada nilai yang baik, mengutamakan kepentingan manusia sejagat, menolak penindasan, penjajahan dan menjaga kebajikan rakyat,” katanya dalam wawancara ekslusif bersama media China, CGTN.
Anwar turut memuji peranan dimainkan Presiden China, Xi Jinping, yang disifatkannya luar biasa dalam mempromosikan dasar berteraskan kesejahteraan rakyat.
“Saya tidak berkata begini hanya kerana kebetulan berada di sana. Tetapi anda boleh lihat melalui tindakan dan dasar yang beliau perjuangkan.
“Kita tidak boleh lagi merelakan keangkuhan kuasa, penjajahan, eksploitasi dan penindasan manusia oleh manusia,” katanya.
Anwar turut memuji Jinping yang disifatkan sebagai pemimpin dunia yang berkarisma tinggi.
“Beliau memimpin sebuah negara dengan sumber yang besar, pertumbuhan ekonomi yang luar biasa dengan kekuatan ketenteraan yang kuat … dan dalam pertemuan antara kami, beliau menyantuni (kami), sebuah negara yang baru ingin meningkat naik dengan kepercayaan dan hormat,” katanya.
“Ini pada pemikiran saya, sesuatu yang perlu diberitahu bukan sahaja kepada rakyat di China tetapi juga kepada dunia … bahawa beliau adalah pemimpin dengan kerendahan hati yang sanggup mendengar dan berinteraksi,” katanya.-BH Online
