Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING: Pelaksanaan inisiatif pendidikan tinggi percuma oleh kerajaan Sarawak yang bakal bermula tahun depan dijangka membabitkan perbelanjaan melebihi RM1 bilion menjelang tahun ketiga pelaksanaannya.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata pada tahun pertama pelaksanaan, kerajaan negeri dijangka menanggung kos melebihi RM400 juta, sebelum meningkat dua kali ganda pada tahun kedua.

“Saya akan umumkan peruntukan sebenar bagi inisiatif ini ketika membentangkan Belanjawan Negeri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, November nanti,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan ulang tahun ke-70 Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) di sini, malam tadi.

Abang Johari berkata, walaupun kosnya tinggi, kerajaan negeri tetap komited melaksanakan inisiatif itu demi masa depan anak-anak Sarawak, khususnya yang menuntut di lima institusi pengajian tinggi milik negeri.

Beliau turut menekankan kepentingan perpaduan rakyat bagi memastikan kelangsungan agenda pembangunan, terutamanya dalam merancakkan ekonomi negeri.

Menurutnya, tumpuan ekonomi Sarawak masa depan adalah kepada teknologi baharu, termasuk hidrogen dan cip semikonduktor, menggantikan kebergantungan terhadap minyak dan gas.

“Pendapatan daripada industri hidrogen dijangka besar dan kita juga akan menghasilkan cip semikonduktor kita sendiri,” katanya.

Beliau memaklumkan SMD Semiconductor Sdn Bhd, syarikat milik penuh kerajaan negeri, kini bekerjasama dengan dua syarikat teknologi antarabangsa bagi membangunkan cip berasaskan semikonduktor kompaun menggunakan teknologi Gallium Nitride (GaN).

Katanya, usaha itu bakal membolehkan Sarawak memiliki cip reka bentuk sendiri, yang berpotensi digunakan dalam aplikasi generasi masa depan.

Abang Johari turut memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam lawatan ke Sarawak dua hari lalu, meminta beliau membentangkan kertas kerja mengenai pembangunan industri semikonduktor Sarawak pada Sidang Kemuncak ASEAN bulan depan di Kuala Lumpur.

“Sarawak tidak boleh hanya bergantung kepada minyak dan gas. Kita mesti pelbagaikan sumber hasil kita walaupun hasil minyak dan gas tetap hak kita, hasil daripada teknologi seperti hidrogen dan cip semikonduktor akan jauh lebih besar pada masa depan,” katanya.-BH Online