Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

NBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil kira semua cadangan yang diutarakan ketika sesi libat urus atau Townhall Anti-Buli termasuk menyediakan pondok polis dalam usaha mengatasi masalah buli di sekolah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata pihaknya bersama Kementerian Komunikasi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) kini mengumpulkan semua pandangan berkaitan sebelum diperhalusi dan dimuktamadkan.

“Kita memang ambil kira semua pandangan. Yang pertama dalam jawatankuasa reformasi keselamatan sekolah yang sedang dilaksanakan ketika ini dan kedua, proses audit keselamatan turut berlangsung di semua sekolah berasrama seluruh negara.

“Pada masa sama, kita sedang kutip pandangan-pandangan ini dalam town hall bersama dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) dan Menteri Komunikasi untuk meneliti berkaitan dengan RUU Tribunal Anti-Buli.

“Jadi semua pandangan-pandangan ini diperlukan untuk kita teliti sebelum kita muktamadkan dan apakah tindakan-tindakan yang kita fikir penting untuk kita laksanakan ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Kongres Pra Universiti MADANI peringkat Negeri Pulau Pinang di Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kejuruteraan, di sini, hari ini.

Sesi Towhall Antibuli oertama anjuran Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri diadakan di Putrajaya Khamis lalu, sebelum diteruskan ke Negeri Sembilan, Selangor, Melaka, dan Johor.

Mengulas lanjut, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal menegaskan kementeriannya sudah mengambil pelbagai langkah keselamatan dalam mengekang isu buli.

“Semua langkah-langkah untuk memastikan keselamatan dan juga tindakan tegas kepada jenayah buli ini dilakukan di bawah peraturan dan garis panduan yang telah pun kita ada,” katanya.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata kongres pra universiti yang diadakan hari ini adalah hasil inisiatif, kerja keras dan komitmen luar biasa pelajar Tingkatan Enam, di negeri ini.

“Ini adalah kongres kedua iaitu selepas Kelantan dan ia adalah hasil kerja keras anak-anak Tngkatan Enam yang sangat luar biasa.

“Saya turut menerima 12 usul dan ada sebahagiannya telah pun diluluskan serta merta termasuk cadangan penganjuran program dan bengkel selain program akademik yang turut akan diteliti di peringkat KPM 

“Kementerian menyokong penuh penganjuran ini dan akan terus membantu pelaksanaannya di peringkat kebangsaan pada tahun hadapan,” katanya.-BH Online