NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) meminta semua pihak menghentikan segera perdebatan mengenai program matrikulasi dan peperiksan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata pertelagahan membabit isu berkenaan hanya mengundang persepsi tidak baik terhadap kedua-dua program pendidikan yang dilaksanakan sejak sekian lama.
Katanya, kedua-dua program di bawah KPM itu mempunyai keistimewaan tersendiri untuk membolehkan pelajar yang mencapai dan memenuhi merit dapat melanjutkan pengajian di universiti awam.
“STPM dan matrikulasi ini telah pun berada dalam sistem pendidikan kita begitu lama dan kedua-duanya ada keistimewaan masing-masing dan juga kedua-duanya memiliki merit untuk masuk ke universiti awam.
“Jadi, saya fikir dalam keadaan hari ini, jangan kita bertelagah dalam isu-isu ini kerana ia akan mengundang persepsi tidak baik kepada kedua-dua program ini,” katanya ketika mengulas mengenai syor supaya sistem matrikulasi dimansuhkan kerana didakwa menimbulkan rasa tidak puas hati ramai pihak.
Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal ditemui selepas merasmikan penutup Kongres Pra Universiti MADANI Pulau Pinang di Dewan Pusat Mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kejuruteraan, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Presiden Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UM), Tang Yi Ze dilaporkan menuntut program matrikulasi dimansuhkan dan STPM dijadikan sebagai piawaian tunggal bagi kemasukan jurusan ijazah di universiti awam.
Bagimanapun, persatuan berkenaan memohon maaf semalam kerana menggunakan perkataan ‘mansuhkan’ program matrikulasi yang mungkin menimbulkan salah faham.
Pada 12 September lalu, UMANY menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pendidikan Tinggi dengan menekankan cadangan itu sebagai cara paling berkesan menangani ketidakadilan kemasukan ke universiti selain melaksanakan peperiksaan bersepadu supaya supaya pelajar dapat bersaing di landasan yang sama.
Mengulas lanjut, Fadhlina mengikuti debat dan perbincangan berkaitan pemansuhan sistem matrikulasi yang diutarakan namun menegaskan bahawa tiada keperluan untuk berbuat demikian.
“Kedua-duanya memenuhi merit untuk masuk ke universiti awam dan kita akan pertahankan keduan-duanya berdasarkan sistem pendidikan yang ada ketika ini,” katanya.
Fadhlina berkata, pihaknya komited menambah baik mutu pendidikan bagi memartabatkan pelajar Tingkatan Enam yang mengambil peperiksaan STPM berdasarkan cadangan diterima dari semasa ke semasa.
“Jadi dengan adanya komitmen di peringkat KPM yang telah pun menjenamakan semula Tingkatan Enam ini, kemudian kita tambah baik dalam konteks program-program dan juga memberikan mereka keupayaan dalam sudut kepimpinan dengan melaksanakan pilihan raya dan sebagainya, pastinya dapat memartabatkan pelajar ini,” katanya.-BH Online