BESUT: Golongan individu berusia 15 hingga 39 tahun dikesan paling ramai terbabit dalam aktiviti penagihan dan penyalahgunaan dadah di negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata sehingga Jun lalu sebanyak 134,916 kes direkodkan, berbanding 148,015 kes bagi tempoh sama pada tahun lalu.
Katanya, berdasarkan statistik yang direkodkan, peratus kes penyalahgunaan dadah menurun kepada 8.8 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Bagaimanapun, katanya, senario itu amat membimbangkan kerana golongan terbabit yang masih berada di peringkat produktif sepatutnya menjadi antara 17 juta tenaga kerja yang diperlukan di negara ini.
“Tetapi, apabila terbabit dalam aktiviti tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah, mereka tidak dapat untuk diguna pakai sebagai tenaga kerja,” katanya selepas merasmikan Program Kampung Angkat Madani Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) di Kampung Keluang, di sini, hari ini.
Beliau berkata, Kelantan menjadi negeri tertinggi kadar penagihan dalam setiap 100,000 penduduk iaitu seramai 758 orang diikuti Terengganu (754 orang), Perlis (731 orang) dan Kedah seramai 700 orang.
“Persamaan antara empat negeri ini ialah bersempadan dengan Thailand,” katanya.
Saifuddin berkata, pengambilan dadah jenis Amphetamine Type Stimulants (ATS) iaitu methamphetamine, ecstacy dan amphetamine menjadi pilihan utama penagih tempatan iaitu sebanyak 72.1 peratus atau 97,329 kes.
“Namun, jumlah itu menunjukkan penurunan 5.8 peratus berbanding 103,305 kes (69.8%) bagi tempoh sama pada 2024,” katanya.-BH Online
