Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BATU KAWAN, 13 September– Sebanyak 28.9 peratus penurunan dicatatkan dalam kes keracunan makanan yang dilaporkan di seluruh negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata penurunan itu adalah hasil dari pelbagai strategi dan intervensi yang dijalankan oleh kementerian, termasuk memperkasa kawalan keselamatan makanan.

“Secara global, satu daripada 10 individu jatuh sakit akibat penyakit bawaan makanan (foodborne diseases).

Berdasarkan data antarabangsa, terdapat kira-kira 200 jenis penyakit di seluruh dunia yang berpunca daripada makanan tercemar,” kata Datuk Seri Dr. Dzulkefly kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian semasa acara Apron Walk 2025 di sini, pagi tadi.

Setakat 6 September lepas, hanya 12,821 kes yang dilaporkan berbanding 18,034 kes pada tempoh yang sama tahun lalu.

Selain itu, jumlah wabak juga menurun daripada 15 kepada 12 wabak.

Sebanyak 14,509 premis makanan di seluruh negara telah menerima pengiktirafan tersebut melalui program pengiktirafan Bersih, Selamat, Sihat (BeSS) yang dianjurkan oleh KKM.

Dalam pada itu, seramai lebih 2,000 peserta menyertai Program ‘Apron Walk 2025’, pagi tadi.

Acara berkenaan memasuki penganjuran kali ketiga dan diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2025 yang bertemakan “Food Safety: Science in Action”.

Program itu dilaksana seiring dengan Sambutan Malaysia Sihat Sejahtera dan kempen ‘Sihat itu Saya’ oleh KKM.

Tambah Datuk Seri Dr. Dzulkefly, penganjuran itu penting untuk menyokong gaya hidup sihat sambil memperkasakan pengetahuan masyarakat tentang keselamatan makanan.

“Penganjuran Apron Walk 2025 ini bukan sekadar program riadah semata-mata, tetapi turut menekankan serta membudayakan gaya hidup sihat.

Pada masa sama, ia memperkasakan kecelikan pengetahuan masyarakat mengenai kepentingan menjaga keselamatan dan kualiti makanan,” jelas Datuk Seri Dr. Dzulkefly.

Selain acara jalan kaki, pelbagai aktiviti menarik lain turut diadakan untuk meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan keselamatan makanan.

Antaranya termasuk Kuiz Jalanan, Pameran Interaktif Keselamatan Makanan, Wellness on Wheel (WOW), pertandingan mewarna, saringan kesihatan percuma, serta gerai jualan makanan dan minuman.-Berita RTM