Sebanyak RM275,000 telah disalurkan menerusi Geran Padanan Sukan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menyokong penganjuran Kejohanan Bola Keranjang yang sedang berlangsung.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata peruntukan itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh pembangunan bola keranjang negara, meningkatkan kualiti pertandingan serta memperluas pendedahan antarabangsa buat atlet muda.
“Ini memberi peluang kepada pasukan bawah 16 tahun. Selalunya, jika ada kejohanan di luar negara tetapi kekurangan dana, pasukan junior akan terpaksa mengalah kerana keutamaan diberi kepada pasukan senior.
“Tetapi dengan adanya geran padanan sukan, persatuan boleh memohon dan menganjurkan kejohanan di sini, sekali gus memberi pendedahan awal kepada pemain muda. Ini amat baik untuk pembangunan sukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis makan malam meraikan FIBA U16 Women’s Asia Cup 2025 – Division B, di sini.
Selain itu, Hannah turut memaklumkan KBS menyalurkan tambahan sebanyak RM204,000 di bawah Dana Sukan Komuniti bagi menganjurkan 20 kejohanan bola keranjang di seluruh negara, sekali gus membuktikan kepentingan sukan tersebut dalam mengeratkan hubungan masyarakat serta melahirkan lebih ramai bakat baharu.-Berita RTM