Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menunggang isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru sehingga menggugat ketenteraman awam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, berkata tindakan provokasi ketika proses pengosongan semalam bukan dilakukan penduduk asal, sebaliknya pihak luar yang cuba mencetuskan propaganda.

“Saya tahu siapa sebenarnya dalang yang menunggang isu ini. Mereka bukan pun penduduk di situ. Saya tidak akan beri peluang untuk perkara sebegini,” katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.

Semalam Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus ketika sidang media selepas operasi pengosongan di kampung Sungai Baru memaklumkan pihaknya mengesan sekumpulan individu yang bukan penduduk dipercayai cuba menimbulkan kekecohan.

Beliau menegaskan, ada dalam kalangan individu yang berkumpul ketika operasi itu dipercayai terbabit aktiviti menimbulkan kekacauan, ‘berkepentingan’ serta mencurigakan.

Dalam pada itu, Dr Zaliha menyifatkan tindakan segelintir pihak yang menyamakan situasi berlaku di kampung Sungai Baru dengan rusuhan di Indonesia serta Nepal sebagai tidak wajar.

“Kenapa mahu negara ini huru-hara… kita bersusah-payah pelihara keamanan, jadi hal seperti ini perlu ditolak,” tegasnya.

Dr Zaliha berkata, isu Kampung Sungai Baru sudah berlarutan hampir sembilan tahun dan kini menjadi tanggungjawab kerajaan menyelesaikannya.

“Ini isu legasi. Kalau duduk di tempat penduduk yang sudah menunggu rumah hampir sembilan tahun, tentu kita faham perasaan mereka.

“Projek itu bermula sejak 2021 di bawah notis Seksyen 4 Akta Pengambilan Tanah 1960 dan kini Kerajaan MADANI mengambil amanah untuk memastikan pampasan adil serta kediaman lebih selesa disediakan,” katanya.

Semalam, suasana tegang tercetus apabila segelintir penduduk enggan berpindah dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman cedera di kepala selepas dibaling dengan objek.-BH Online