Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia terus melakar kejayaan sebagai hab semikonduktor utama di rantau ini hasil infrastruktur sedia ada, rantaian bekalan mantap dan tenaga kerja berkualiti.

Tegas Perdana Menteri, ekosistem industri semikonduktor negara yang semakin kukuh dan menjadi antara faktor utama pelabur global seperti X-FAB memilih Malaysia menjadi lokasi pelaburan.

“Kita berjaya kerana mempunyai infrastruktur lengkap, rantaian bekalan menyeluruh dan ekosistem dengan tenaga kerja yang betul dan berdisiplin,” katanya.

Beliau berucap merasmikan pembesaran kemudahan pembuatan semikonduktor X-FAB bernilai RM3 bilion di Taman Teknologi Tinggi Samajaya, di sini, hari ini.

Turut hadir, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan X-FAB, Rudi De Winter.

Anwar mengakui cabaran utama dihadapi Malaysia ialah mendapatkan pakar industri semikonduktor bertaraf antarabangsa.

“Walaupun kita ada tenaga kerja yang rajin dan berdedikasi, usaha sinergi antara industri dan universiti perlu diperkukuh bagi menghasilkan graduan yang bersedia memasuki industri,” katanya.

Beliau turut memuji usaha universiti tempatan menubuhkan Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) selari agenda kerajaan memacu pembangunan teknologi tinggi.

Anwar berkata, universiti mempunyai kepakaran, namun mesti bergandingan dengan industri bagi memastikan latihan dan penyelidikan bersifat praktikal dan relevan.

Beliau turut melahirkan penghargaan terhadap keyakinan syarikat semikonduktor berpangkalan di Jerman itu yang terus melabur di Malaysia, khususnya Sarawak.

“Pelaburan RM3 bilion oleh X-FAB mencerminkan keyakinan terhadap kerajaan negeri Sarawak di bawah pimpinan Premier Tan Sri Abang Johari Openg.

“Kerajaan negeri yang progresif memudahkan usaha Kerajaan Persekutuan dalam mempercepatkan agenda pelaburan dan pembangunan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, usaha sama kerajaan Persekutuan dan negeri penting ke arah memastikan Malaysia kekal berdaya saing dalam pasaran semikonduktor global yang kompetitif.-BH Online