KUALA LUMPUR: Pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan dilaksanakan secara berfasa dengan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan dijangka dibentangkan di Parlimen pada Jun tahun depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata proses itu perlu dibuat secara berperingkat kerana membabitkan pindaan besar merangkumi pindaan Perlembagaan Persekutuan, Kanun Tatacara Jenayah dan 18 akta lain.
Justeru, pendekatan sedemikian diambil bagi memastikan pelaksanaan reformasi dijalankan secara teratur, menyeluruh dan berkesan.
“Mengikut perancangan, RUU Pindaan Perlembagaan dijangka dibentangkan di Parlimen pada Jun 2026.
“Seterusnya, pembentangan RUU Pembaharuan Undang-Undang (Pendakwa Raya) dan RUU baharu khusus mengenai saraan Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan menyusul pada Oktober 2026,” katanya kepada Buletin Utama.
Terdahulu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini, memaklumkan kerajaan bersetuju untuk mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Katanya, Azalina sudah membentangkan model-model pengasingan kepada Jemaah Menteri.
Setelah pertimbangan dibuat, Jemaah Menteri memutuskan untuk melaksanakan cadangan pengasingan penuh di mana kedua-dua jawatan ini diwujudkan secara berasingan dan setara dalam Perlembagaan Persekutuan.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, ketika ini, Pasukan Petugas Khas Teknikal sedang memperincikan semua aspek pelaksanaan secara teliti, termasuk struktur, perjawatan dan implikasi kewangan.
Katanya, mengikut garis masa yang ditetapkan, laporan Jawatankuasa Teknikal dijangka siap akhir tahun ini.
“Seterusnya, sesi libat urus berhubung cadangan dasar bagi pindaan
kepada Perlembagaan Persekutuan, penggubalan RUU Pembaharuan Undang-Undang (Pendakwa Raya) dan pewujudan satu RUU khusus mengenai saraan Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan dilaksanakan pada suku tahun pertama tahun depan.
“Syor lengkap hasil perincian ini akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan sebaik sahaja ia dimuktamadkan bagi memastikan pelaksanaan dapat dijalankan dengan teratur dari segi undang-undang,” katanya.
Mengulas model pengasingan yang dirangka Malaysia, katanya, ia lebih komprehensif berbanding amalan di di United Kingdom, Kanada dan Australia.
Ini berikutan ia bukan saja memisahkan fungsi, tetapi turut memperkukuh jaminan perlembagaan, kedudukan kewangan dan akauntabiliti institusi.
Melalui pendekaan sedemikian, Azalina berkata, ia membolehkan negara membina satu sistem pendakwaan yang lebih bebas, telus dan diyakini rakyat.-BH Online