Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkenal Elaun Modal Automasi bagi menggalakkan penggunaan automasi dan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) oleh syarikat dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan susulan kesan tarif timbal balas dengan Amerika Syarikat (AS).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata tindakan itu untuk memastikan pelaburan langsung asing di negara ini tidak terjejas, sekali gus meminimumkan impak kepada ibu negara.

Katanya, insentif diberikan itu membolehkan syarikat menuntut 200 peratus sehingga RM10 juta bagi perbelanjaan automasi dan industri 4.0.

“Selain itu, insentif pelaburan lain termasuk cukai karbon bagi sektor ‘hard-to-abate’ iaitu besi dan keluli, Insentif Pelaburan Semula di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Elaun Cukai Pelaburan iaitu elaun sebanyak 60 peratus atau 100 peratus daripada jumlah perbelanjaan modal yang layak yang dibuat oleh syarikat dalam tempoh lima tahun.

“Kerajaan juga menambah baik dan memudah cara proses pelaburan dengan menawarkan khidmat fasilitasi projek pelaburan dan maklumat di portal MySite Selection dan Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia (IMFC),” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Negara.

Beliau menjawab soalan Senator Robert Lau mengenai impak ke atas pelaburan dari AS di negara ini akibat perang dagang dan tarif serta langkah diambil untuk meminimumkan impak terhadap ekonomi negara.

Tengku Zafrul berkata kementerian juga berusaha mempertingkat akses pasaran eksport barangan dan perkhidmatan termasuk menarik pelaburan asing masuk ke negara melalui pengukuhan hubungan perdagangan dengan pasaran sedia ada dengan mengoptimumkan 18 perjanjian perdagangan bebas (FTA).

“Rundingan-rundingan FTA baharu termasuk ASEAN-Kanada; Malaysia-Korea; Malaysia-Kesatuan Eropah (EU) dan Malaysia-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) serta meneroka potensi FTA dengan negara-negara lain seperti Bangladesh dan Sri Lanka.

“Selain itu, peningkatan program promosi pelaburan, misi galakan perdagangan dan pelaburan serta program padanan perniagaan.

“Kementerian akan terus berusaha untuk mengukuhkan ekosistem pelaburan negara bagi meningkatkan daya tarikan kepada pelabur asing dan mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelaburan terpilih di rantau ini, seiring dengan usaha berterusan Kerajaan Madani melindungi serta memelihara kestabilan ekonomi negara,” katanya.-BH Online