Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Jumlah kerugian akibat jenayah penipuan dalam talian mencatatkan lonjakan mendadak, membabitkan nilai keseluruhan RM1.57 bilion atau 84.46 peratus, tahun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata angka berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu meningkat berbanding RM851.12 juta yang direkodkan pada 2022.

Beliau berkata, kes jenayah penipuan dalam talian turut mencatatkan peningkatan 38.81 peratus atau 35,368 kes tahun lalu, berbanding 25,479 kes, pada 2022.

“Statistik terkini penipuan dalam talian merekodkan sebanyak 31,949 kes dengan nilai kerugian RM1.53 bilion, antara Januari hingga Julai lalu.

“Dari segi penyelesaian kes, 61,437 daripada 127,291 kes yang disiasat antara 2022 hingga Julai lalu, sudah diselesaikan, menjadikan kadar penyelesaian keseluruhan adalah 48.26 peratus,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Negara. 

Beliau menjawab soalan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff mengenai statistik terkini kes penipuan dan jenayah dalam talian serta jumlah kes diselesaikan, selain langkah bagi mengurangkan kejadian itu berulang.

Mengenai langkah pencegahan, Saifuddin Nasution berkata, pelbagai langkah strategik sudah dan sedang dijalankan PDRM, termasuk pengukuhan Pusat Respon Penipuan Kebangsaan (NSRC) yang beroperasi sejak 12 Oktober 2022.

Beliau berkata, fungsi NSRC turut diperluas sebagai pusat sehenti yang beroperasi 24 jam dan memberikan perkhidmatan ‘end-to-end’ bagi menangani jenayah penipuan dalam talian.

“Selepas hampir tiga tahun beroperasi secara pentadbiran, Perdana Menteri ketika mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN), bersetuju NSRC diletakkan di bawah kawal selia Kementerian Dalam Negeri dan diterajui PDRM.

“NSRC menghimpunkan sumber dan kepakaran bagi membanteras penipuan kewangan dengan lebih cepat dan berkesan serta mencegah mangsa menghadapi kerugian kewangan melalui tindakan ‘earmarked’ (diuntukkan),” katanya.

Saifuddin Nasution berkata, dalam melaksanakan strategi dan kerjasama antarabangsa, Malaysia kini sedang dalam tindakan menyertai Konvensyen Budapest dan menandatangani Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkaitan jenayah siber.

Konvensyen itu, katanya, bertujuan mengukuhkan kerjasama dalam penyiasatan, pertukaran bukti digital dan ekstradisi pelaku jenayah siber, perkongsian maklumat dan risikan bersama Interpol dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

Beliau berkata, Malaysia juga menjalin kerjasama dalam ASEAN Singapore Cybersecurity Center of Excellence (ACCP) bagi meningkatkan kapasiti pegawai PDRM mengenai keselamatan siber dan trend terkini jenayah siber.

“Kanun Keseksaan (Akta 574) juga sudah dipinda bagi menangani kes jenayah siber, terutama penipuan kewangan melibatkan penggunaan akaun keldai, membabitkan peruntukan tambahan Seksyen 424A, 424B, 424C, dan 424D berkenaan kesalahan memiliki, mengawal dan menggunakan kad ATM, kad kredit, e-wallet dan sebarang instrumen pembayaran.

“Selain itu, pindaan Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) membabitkan penambahan peruntukan Seksyen 116D yang memberi kuasa kepada pegawai polis untuk menyita dan membekukan akaun bagi menyekat urusan transaksi kewangan.

“Kerajaan juga sedang dalam tindakan menggubal Rang Undang-undang (RUU) Jenayah Siber sebagai sebahagian usaha membanteras jenayah siber di negara ini,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, unit khas di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil PDRM sudah diwujudkan bagi meningkatkan keupayaan mengatasi ancaman siber, antaranya Unit Siasatan Forensik Digital dan Unit Police Cyber Investigation Response Centre (PCIRC).-BH Online