Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Program Ekonomi Madani dijangka menghasilkan tuaian tanaman sehingga enam tan setahun dengan anggaran pendapatan RM604,000 dalam tempoh 30 bulan akan datang. 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata program itu dilaksanakan membabitkan keluarga anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara.

Menurutnya, pelaksanaan secara berfasa itu akan memberi manfaat kepada warga ATM di 90 kem tentera. 

“Pada awalnya, projek ini dijalankan secara percubaan untuk melihat sama ada isteri anggota berminat, dan ternyata sambutannya tinggi.

“Kerajaan memperuntukkan RM10 juta bagi menjayakannya. Bagi projek madu kelulut, Boustead Plantations menanggung separuh kos rumah kelulut manakala kerajaan membayar selebihnya. 

“Kita mulakan dengan 22 kem, dan selepas itu diperluaskan secara berfasa hingga membabitkan 90 kem dalam tempoh dua setengah tahun (30 bulan),” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat di Kem Perdana Sungai Besi, di sini, hari ini.

Boustead Plantations beli semua hasil tanaman

Semua hasil tuaian akan dibeli oleh Boustead Plantations Berhad, anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), untuk diproses kepada produk bernilai tambah. 

Tambah beliau, keuntungan daripada syarikat itu juga akan memberi pulangan kepada warga ATM pada masa hadapan.

“Pulangan untuk 22 kem lebih kurang RM146,000 setahun, manakala untuk 90 kem lebih kurang dalam RM604,000 setahun. 

“Dari segi pulangan, kita tengok lebih kepada membantu kebajikan Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT). Hasil akan dipulangkan semula kepada BAKAT untuk membesarkan produk dalaman mereka,” katanya. 

Untuk tanaman herba, katanya ia dimulakan di Kem Perdana dengan tanaman pandan, serai dan kini ulam raja. 

“Syarikat pemula daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) turut berminat membelinya. 

“Apabila keseluruhan ekosistem sudah tersedia, barulah sesuai untuk diperluaskan di tempat lain,” katanya. 

Mohamed Khaled berkata, Kem Mahkota Kluang sudah mula memperoleh hasil dan memberi pendapatan sederhana kepada kira-kira 20 keluarga, namun berpotensi memberi pulangan lumayan pada masa depan. 

Jelas beliau, program itu diharap memberi peluang kepada warga ATM untuk menyertai aktiviti ekonomi yang dirangka kerajaan supaya kem tentera tidak tercicir daripada menerima manfaat inisiatif berkenaan.-BH Online