KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meminda Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) bagi meningkatkan mobiliti sosial Orang Asli, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut Timbalan Perdana Menteri 1, pindaan akta serta beberapa pendekatan baharu lain adalah langkah untuk memulangkan semula hak kepada masyarakat Orang Asli.
Tanpa memperincikan apa dimaksudkan sebagai ‘hak’ berkenaan, Ahmad Zahid berkata, langkah itu bertujuan membolehkan masyarakat Orang Asli mampu bersaing secara positif dalam bidang kerjaya, selain berupaya ‘berdiri sama tinggi, duduk sama rendah’ dengan kaum lain di negara ini.
“Banyak saya pelajari ketika melawat Orang Asli di New Zealand sebelum ini. Ia membabitkan tindakan dilakukan mereka di mana hak golongan ini dikembalikan sehingga memiliki industri tenusu, perladangan dan lain-lain yang kemudiannya dieksport.
“Insya-Allah kita akan lakukan (reformasi bagi masyarakat Orang Asli), bukan sahaja melalui pindaan Akta 134, tetapi beberapa pendekatan baharu agar taraf kehidupan Orang Asli meningkat,” katanya pada sesi lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Manolan Mohamad mengenai sasaran meningkatkan pembabitan Orang Asli berkhidmat dalam Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) memandangkan tiada kakitangan membabitkan masyarakat itu dilantik secara tetap, pada 2023.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, jumlah golongan profesional dalam kalangan masyarakat Orang Asli mencatatkan peningkatan dengan lebih 20 individu memiliki taraf pendidikan di peringkat doktor falsafah (PhD).
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, ini membuktikan kerajaan tidak meminggirkan masyarakat Orang Asli, selain meletakkan keutamaan untuk mereka menerima peluang pendidikan serta terbabit dengan penuh komitmen.
“Murid sekolah rendah dan menengah misalnya, pengangkutan diberikan kepada mereka, selain elaun bernilai RM4 sehari dan bantuan lain. Ini bertujuan menggalakkan peningkatan mobiliti sosial dalam kalangan Orang Asli.
“Pemberian insentif ini juga bagi membolehkan Orang Asli memperoleh kerjaya supaya mereka mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan kaum lain di negara ini,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.-BH Online