Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peringatan supaya pemahaman sejarah dalam kalangan generasi muda tidak dipandang ringan, meskipun negara rancak bergerak ke arah era digital dan kecerdasan buatan (AI). 

Perdana Menteri menegaskan, sejarah bukan sekadar disiplin ilmu tetapi kunci membina naratif kebangsaan yang mampu memupuk semangat patriotisme.

“Saya melihat kadang-kadang perbincangan dalam negara seperti sekarang, di mana kita banyak menitip mengenai digital, AI, semikonduktor, teknologi baru.

“Itu kadang-kadang meremehkan peranan sejarah sedangkan kalau kita belajar AI itu sendiri, AI akan berjaya kalau kita faham nilai akhlak dan sejarah kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran, Penyampaian Watikah dan Mesyuarat Majlis Sejarawan Negara di sini, hari ini. 

Yang turut hadir, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz. 

Anwar berkata, dalam mendukung hasrat Malaysia menjadi peneraju transformasi digital dan AI, negara mesti mempunyai kekuatan dalaman berasaskan pelbagai disiplin termasuk sejarah, budaya, bahasa, agama serta nilai. 

Aspek historiografi juga penting kerana disiplin itu bukan sahaja mengupas penafsiran dan analisis sejarah, malah mengkritik dan mencabar pandangan sejarawan itu sendiri.

“Saya tidak fikir Majlis Sejarawan (Negara) ini percubaan untuk meluruskan sejarah Malaysia kerana karya awal sudah banyak mendukung konsep ini. 

“Tugas kita adalah menanggung kekuatan ini, terus berwacana dan memberi nasihat kepada kerajaan,” katanya. 

Perdana Menteri turut melahirkan kebimbangan terhadap minat membaca dan kecenderungan generasi muda terhadap sejarah yang semakin longgar. 

Beliau berkata, meskipun teknologi baharu seperti AI, matematik dan kejuruteraan sangat penting, tamadun tetap tidak akan tertegak dengan teknologi semata-mata. 

“Kita ada budaya, sejarah dan sastera. Ini tiang seri tamadun. Tamadun tertegak dengan budaya, dengan sejarah dan ketinggian nilai. Tamadun yang kita bina mestilah tamadun Malaysia,” katanya. 

Anwar menegaskan, sistem pendidikan, arkib dan muzium perlu lebih aktif dan kreatif dalam menyemai kecintaan terhadap sejarah, antaranya melalui pameran interaktif, risalah bergambar serta pendekatan guru yang menarik supaya ilmu sejarah dapat difahami dan dihargai generasi muda.-BH Online