SEPANG: Pengoperasian kemudahan Makmal Forensik Kenderaan oleh CyberSecurity Malaysia (CSM) akan meningkatkan keberkesanan siasatan nahas jalan raya di negara ini.
Ia berikutan, berbanding dengan kaedah sedia ada yang bergantung kepada bukti fizikal di lokasi nahas serta anggaran yang dijalankan, makmal yang pertama seumpamanya di negara ini, berupaya menganalisis data dalam perakam data kejadian (event data recorder), modul kawalan beg udara (airbag control module) dan sistem maklumat hiburan kenderaan (infotainment) untuk mengetahui situasi sebenar yang berlaku.
Menteri Digital, Gobind Singh Demo, berkata inisiatif oleh CSM itu sangat penting kerana ia dapat membantu semua pihak apabila berlaku sesuatu kemalangan.
Katanya, data yang diperoleh itu boleh dinilai dan diteliti di makmal, sekali gus membantu siasatan pihak berkuasa.
“Kita semua tahu pentingnya data bila berlaku satu insiden yang memerlukan siasatan.
“Kedua, kita juga dapat melihat apakah sebenarnya yang telah membawa kepada insiden tersebut dan kita dapat mengambil langkah-langkah untuk kita cuba memastikan bahawa kekurangan-kekurangan yang wujud, yang telahpun membawa kepada kemalangan atau insiden tersebut dapat kita perbaiki.
“Kemudian, kita juga dapat mengumpul data tersebut untuk penilaian atau apa yang kita kata ‘predictive technologies’,” katanya kepada media selepas melancarkan Makmal Forensik Kenderaan di sini, hari ini.
Gobind berkata, ketika ini makmal berkenaan memang bekerjasama dengan pihak berkuasa, khususnya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang mempunyai peranan besar dalam siasatan insiden membabitkan kenderaan dan sebagainya.
Selain menjalankan penyelidikan dan analisis data kenderaan berkaitan kemalangan dan isu keselamatan, makmal berkenaan juga menyokong siasatan forensik digital agensi penguatkuasaan undang-undang melalui bukti digital yang sahih dan berintegriti.-BH Online