PUTRAJAYA: Penubuhan Majlis Sejarawan Negara menjadi langkah penting memastikan aspek kajian, rujukan sumber, penulisan, penerbitan, pendidikan serta advokasi sejarah negara dapat dikawal selia secara tersusun dan berwibawa.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata penubuhannya adalah antara inisiatif strategik negara sejajar usaha membangunkan identiti nasional yang kukuh dan berpaksikan sejarah, memastikan ketepatan fakta sejarah dalam wacana awam dan pendidikan serta menyediakan wadah profesional kepada sejarawan.
“Penubuhan majlis ini amat penting bagi memastikan kestabilan, keamanan, keharmonian, dan perpaduan negara terus terpelihara.
“Pada masa sama, Majlis Sejarawan Negara berperanan untuk menjamin supaya penemuan serta sumbangan pelbagai pihak dalam sejarah dan pembangunan negara direkodkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran, Penyampaian Watikah dan Mesyuarat Majlis Sejarawan Negara yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Penubuhan Majlis Sejarawan Negara dicadang oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebelum diangkat kepada Jemaah Menteri dan diluluskan pada 24 Januari lalu.
Keahlian majlis yang julung kalinya ditubuhkan itu merangkumi 10 sejarawan, dua ahli arkeologi, dua ahli antropologi dan sosiologi serta tiga wakil Kementerian Perpaduan Negara (KPN), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan (KPM).
Keanggotaan Majlis Sejarawan Negara adalah bagi tempoh dua tahun, bermula 1 Ogos 2025 hingga 31 Julai 2027.
Terdahulu, Perdana Menteri menyampaikan watikah pelantikan antaranya kepada Pensyarah (Bersara) Universiti Malaya (UM), Prof Emeritus Datuk Dr Ahmat Adam; dan Penyandang Kursi Sultan Mizan Zainal Abidin, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali.
Selain itu, Pengerusi Felo Kenegaraan Dewan Kenegaraan, Pejabat Perdana Menteri Prof Emeritus Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman; Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM, Prof Datuk Dr Danny Wong Tze Ken.
Turut dilantik ialah Pensyarah (Bersara) UM, Prof Dr S R Sivachandralingam; Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Profesor Madya Dr Asyaari Muhamad; Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Stephen Chia Ming Soon.
Selain itu, Pengarah Institut Pengajian Asia Borneo (IBS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Dr Poline Bala; Ketua Setiausaha KPN, Datuk Haslina Abdul Hamid; Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr Anesee Ibrahim; dan Ketua Setiausaha KPM, Datuk Dr Aminuddin Hassim.
Sejurus penyerahan watikah pelantikan, Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Sejarawan Negara.-BH Online