Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan meneliti permintaan menaikkan harga runcit beras putih tempatan (BPT) kepada RM3.60 sekilogram berbanding RM2.60 ketika ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata kementerian akan mengkaji perkara itu berikutan penurunan harga beras import yang dengan sendirinya mengurangkan permintaan terhadap beras tempatan.

“Kita buat kajian dan meneliti perkara itu disebabkan harga beras import sudah turun, tetapi kenaikan harga tidak boleh dibuat tergesa-gesa sebab perubahan harga akan sentiasa berlaku.

“Beras import sekarang memang murah dan kita sedang membuat kajian intensif,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Forum Pengairan Dunia Keempat (WIF4) dan Mesyuarat Majlis Eksekutif Antarabangsa (IEC) ke-76 di sini, hari ini.

Forum itu menghimpunkan 500 peserta dari dalam dan luar negara merangkumi penggubal dasar, organisasi kerajaan, badan korporat, penyelidik dan komuniti petani, berlangsung sehingga 13 September ini.

Semalam, Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM) memohon kerajaan menaikkan harga runcit beras tempatan kepada RM3.60 sekilogram berbanding RM2.60 ketika ini.

Kenaikan itu selaras peningkatan kos operasi dan harga lantai belian padi RM1,500 satu tan sejak 16 Februari lalu.

Gesaan sama turut disuarakan Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) yang menuntut kenaikan harga itu disebabkan pihak pengilang dan pemborong berdepan kos lain perlu ditanggung.

Dalam isu berhubung kekurangan bekalan beras, Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak, berkata ia berlaku disebabkan pembelian secara spontan apabila rakyat mendapat bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Katanya, empat juta kampit BPT sudah diagih ke seluruh negara dan ia tidak perlu bimbang kerana mencukupi untuk keperluan rakyat.

“Rakyat membeli melebihi apa yang diperlukan untuk stok. Tidak perlu bimbang juga kerana ada sistem pengawasan penyampaian beras di seluruh negara.

“Apabila ada kekurangan di kawasan jauh, ia cuma perlu ditambah dan mengambil sedikit masa. Kalau di bandar besar, beras tempatan ini memang ada.

“Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Negara akan memantau sekiranya di mana-mana kawasan ada permintaan meningkat supaya menambah bekalan lebih awal,” katanya.-BH Online