BALING, 6 September – Peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada Kedah tahun ini meningkat kepada RM9.7 bilion berbanding RM7.1 bilion pada 2021, sekali gus membuktikan negeri itu tidak pernah dipinggirkan walaupun ditadbir pembangkang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemberian khas kepada Kedah turut meningkat daripada RM451 juta pada 2021 kepada RM540 juta tahun ini, manakala perbelanjaan pembangunan negeri bertambah daripada RM1.48 bilion pada 2021 kepada RM2.24 bilion pada 2025.
“Secara keseluruhan, Kedah menerima RM9.66 bilion peruntukan meliputi pengurusan, pembangunan dan pemberian Kerajaan Persekutuan. Tambahan ini dibuat kerana keperluan negeri, termasuk projek tebatan banjir dan sistem tali air untuk tanaman padi. Kalau dibandingkan dengan 2021, peruntukan meningkat daripada RM7 bilion kepada RM9.6 bilion tahun ini. Saya pantau beberapa projek, dan alhamdulillah ada kemajuan,” katanya.
Beliau menegaskan, sokongan yang diberikan adalah berasaskan keperluan rakyat, bukan kerana faktor politik.
Perdana Menteri berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Program Madani Rakyat (PMR) 2025 peringkat Negeri Kedah di Kompleks Sukan Majlis Daerah Baling, hari ini.
Dalam ucapan sama, beliau turut mengumumkan beberapa projek pembangunan utama negeri itu. Ia termasuk Projek Skim Pemindahan Air Jeniang dengan kos RM922 juta, pembangunan Hab Perindustrian dan Logistik di Sidam di bawah NCER bernilai RM700 juta, serta Kedah Rubber City di Ladang Ketapang dengan kos RM628 juta.
Selain itu, Hospital Kulim bakal mempunyai bangunan tambahan bernilai RM588 juta, manakala projek naik taraf Laluan 7 dari persimpangan Lencongan Barat ke persimpangan Simpang Tiga Kemboja akan dilaksanakan dengan kos RM575 juta.-Berita RTM