Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING, 6 September – Perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) perlu digunakan dengan penuh berhati-hati bagi mengelakkan kesan buruk terhadap kestabilan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, mengingatkan bahawa walaupun AI membawa banyak manfaat, teknologi itu juga boleh disalahgunakan sehingga menjadi alat penipuan dan penyebaran maklumat palsu untuk mengelirukan atau memperdaya masyarakat.

Beliau memberi contoh kejadian di Indonesia baru-baru ini, di mana penggunaan teknologi tanpa kawalan telah mencetuskan kemarahan rakyat negara itu, sekali gus menimbulkan demonstrasi berikutan penyebaran maklumat palsu melalui media sosial.

Tegasnya, fenomena itu wajar dijadikan iktibar agar Malaysia tidak terjerumus dalam situasi yang sama, terutamanya dengan penyebaran berita palsu melalui video dan audio manipulasi AI yang kini semakin sukar dibezakan dengan yang sebenar.

“Tapi apa yang lebih merunsingkan sekarang ini, dengan AI yang semakin canggih, maka akan berlaku ‘deepfake’ yang makin seolah-olah benar, penipuan tetapi dibuat seolah-olah benar.

“Mungkin pernah lihat video saya membuat pemasaran sesuatu produk, muka saya, suara saya, dan bercakap macam saya, tetapi bukan saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Kembara Segulai Sejalai Belia Sarawak 2025 di Masjid Darul Aqsa, Kampung Segedup di sini.-Berita RTM