SEREMBAN: Kepemimpinan MIC dinasihat menggunakan Dewan Tertinggi BN sebagai forum memberi pandangan atau meluahkan rasa tidak puas hati terhadap gabungan itu.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata pimpinan parti itu tidak seharusnya mengambil jalan singkat mengeluarkan kenyataan di luar Dewan Tertinggi BN kerana bimbang disalahertikan.
Beliau menegaskan, MIC perlu kekal dalam gabungan BN kerana bersama-sama membangunkan negara sejak sebelum merdeka.
“Kalau ada pandangan, beritahulah… jangan isi hati dipendam dalam mesyuarat tapi di luar cakap lain, tak elok macam itu.
“Keharmonian dalam BN boleh terjejas dengan tindakan dan kenyataan seperti itu.
“Jika ada apa-apa hasrat, kemukakan kepada platform Dewan Tertinggi BN yang selama ini menjadi forum kepada semua parti gabungan dalam BN termasuk UMNO dan MCA.
“Tak usahlah kita bercakap di luar, sebab kadang-kadang boleh disalah erti, maka ada baiknya pemimpin parti komponen bertemu dan berbincang menerusi Dewan Tertinggi BN.
“Itu lebih baik daripada kita bercakap di luar atau mengeluarkan pandangan yang akhirnya memberi kesan negatif kepada parti sendiri,” katanya.
Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO ditemui media selepas merasmikan Karnival Kemerdekaan 2025 di sini, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Luar, mengulas kenyataan beberapa pemimpin MIC memberi bayangan parti itu berhasrat keluar daripada gabungan BN.
Isu itu timbul susulan pemimpin parti berkenaan mendakwa Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tidak menunaikan janji jawatan Kabinet sekiranya menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Difahamkan, empat badan perhubungan negeri MIC meluluskan resolusi untuk meninggalkan BN.-BH Online