Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 6 September – Malaysia menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) dengan Belanda bagi memperkukuh kerjasama dalam industri semikonduktor, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab global sektor berkenaan.

Perjanjian itu dimeterai oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi Belanda, Vincent Karremans di The Hague.

Tengku Datuk Seri Zafrul menerusi hantaran di laman Facebook memberitahu, kerjasama tersebut membolehkan Malaysia memanfaatkan kepakaran Belanda dalam pembuatan cip termaju untuk meningkatkan rantaian nilai, khususnya dalam pemasangan, pengujian dan pembungkusan.

“Bersama-sama kita akan membina ekosistem semikonduktor yang berdaya tahan demi manfaat kedua-dua negara dan ekonomi global,” katanya.

Beliau menambah, usaha itu juga selaras dengan Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) yang mensasarkan pelaburan bernilai RM500 bilion, melahirkan syarikat tempatan bernilai tinggi serta melatih 60,000 jurutera menjelang 2030.

Dalam kenyataan berasingan, MITI memaklumkan kerjasama itu menekankan kepentingan mempelbagaikan rantaian bekalan global bagi memastikan kedua-dua negara kekal berdaya saing dalam menghadapi perubahan teknologi dan dinamik pasaran.

Menurut MITI, MoC turut mewujudkan platform berstruktur menerusi Dialog Semikonduktor Dua Hala Tahunan bagi memudahkan semakan bersama kemajuan inisiatif, pertukaran maklumat dasar industri, arah aliran pasaran serta penyelarasan pembangunan bakat, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta perkongsian teknologi.-Berita RTM