Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BALING: Datuk Seri Anwar Ibrahim berpuas hati dengan prestasi sistem pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang dilaporkan lancar sejak beberapa hari lalu.

Perdana Menteri berkata, walaupun berlaku gangguan kecil pada hari-hari awal pelaksanaan, semua masalah berjaya ditangani dan sistem kini berfungsi dengan baik.

“Saya tengok tadi bukan satu tapi ada tujuh, lapan (penerima SARA) saya periksa, semua nampak berjalan baik. 

“Hari pertama dan kedua memang ada sedikit ‘glitch’ (gangguan sementara) tapi sekarang lancar, dalam empat lima hari ini tiada satu pun aduan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program outreach SARA di Pasaraya Ekonomi Rakyat di Kupang di sini, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan, menegaskan pelaksanaan program SARA tidak tertumpu kepada pasar raya besar semata-mata tetapi turut merangkumi kedai runcit dan pasar raya di kawasan luar bandar.

Katanya, dakwaan SARA hanya memanfaatkan pasar raya besar adalah tidak benar kerana premis berskala kecil turut tersenarai dalam pelaksanaan program berkenaan.

“Pertama, bukan saja pasar raya besar, yang kecil pun termasuk. Keduanya, kita sekarang galakkan tambahan produk tempatan. Kita tengok macam kopi, kopi Baling, kemudian ada kicap dari Kuala Kedah, Alor Setar atau pun di Kelantan.

“Barangan daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) juga diberi perhatian supaya pengguna boleh membelinya melalui program SARA,” katanya.

Mengenai keperluan tindakan tambahan terhadap sistem berkenaan, Anwar berkata, sebarang dasar atau penambahbaikan bantuan lain akan dibincang dalam pembentangan Belanjawan 2026, bulan depan.

Sebelum ini, Kementerian Kewangan memberi jaminan penambahbaikan sistem SARA akan dilakukan secara harian, khususnya bagi menampung peningkatan jumlah pengguna pada hujung minggu dan menjelang sambutan perayaan.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican, dilaporkan berkata, penyedia sistem MyKasih melaksanakan beberapa langkah bagi menambah baik kapasiti serta sistem pemantauan kerosakan untuk mengatasi isu teknikal yang timbul.-BH Online