Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA BHARU, 6 September – Sebanyak 6 unit bank bergerak Agrobank ditempatkan di kawasan luar bandar bagi memudahkan masyarakat mendapatkan akses kepada perkhidmatan kewangan, dengan 2 unit masing-masing ditempatkan di Kelantan, Sabah dan Sarawak.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata perkhidmatan itu memberi tumpuan kepada kawasan pedalaman dengan populasi sekitar 5,000 hingga 10,000 penduduk.

“Agrobank tidak boleh diukur semata-mata berdasarkan keuntungan tahunan kerana peranannya berbeza daripada bank lain. Ia lebih berorientasikan khidmat kepada masyarakat, khususnya di kawasan pedalaman, dan saya harap masyarakat kampung memberi sokongan kepada Agrobank,” katanya.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan melalui inisiatif itu termasuk penyimpanan dan pengeluaran wang, pembukaan akaun simpanan, pendaftaran takaful, pembayaran bil utiliti serta khidmat nasihat pembiayaan.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bank Bergerak dan Kampung Angkat MADANI di Kampung Pantai Mek Mas, Kota Bharu, Kelantan.

Hadir sama, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.

Pada majlis berkenaan, Agrobank turut menyerahkan sumbangan zakat berjumlah RM10,000 bersempena pelancaran Kampung Angkat MADANI untuk disalurkan kepada 50 keluarga terpilih di Kampung Pantai Mek Mas, Kampung Pantai Kundur dan Kampung Kuala Besar.

Selain itu, Agrobank turut menyalurkan sumbangan zakat bernilai RM10,000 yang memberi manfaat kepada 100 pelajar asnaf dari Sekolah Kebangsaan Pulau Kundor.-Berita RTM