Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Semakan kenaikan kadar elaun tugas atas panggilan (ETAP) akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam waktu terdekat.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pembentangan untuk pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri dalam waktu terdekat itu dibuat supaya pelaksanaannya dapat direalisasikan pada tahun depan.

“Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa berusaha menambah baik pemberian insentif serta kebajikan kakitangan dan petugas kesihatan dengan menjalankan pelbagai kajian elaun dan kemudahan termasuk kenaikan kadar ETAP.

“Penambahbaikan seperti ini akan terus diusahakan secara berkala mengikut keadaan semasa.

“Warga kerja termasuk petugas kesihatan di KKM kini menerima pelbagai jenis elaun bertugas bagi yang layak antaranya bayaran insentif perkhidmatan kritikal; bayaran insentif pakar; dan elaun bertugas selepas waktu pejabat di Klinik Kesihatan dan Klinik Rawatan Pesakit di Jabatan Kecemasan Hospital (Elaun Locum).

“Selain itu, elaun pembedahan elektif serta yang terkini, bayaran insentif pakar pra warta (BIPPW),” katanya menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, pihaknya komited untuk menyempurnakan semakan kenaikan kadar ETAP yang sudah dijalankan sejak mutakhir ini.

“Bersama-sama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), ia yang akan dibentangkan untuk pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri dalam waktu terdekat agar pelaksanaannya dapat direalisasikan pada tahun depan.-BH Online