KUALA LUMPUR: Penghayatan dan kefahaman mendalam terhadap ajaran Rasulullah SAW, berupaya melahirkan umat Islam yang berperanan menjadi penggerak kepada pembinaan negara bangsa berasaskan nilai Islam, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, warisan ditinggalkan Baginda melalui kepimpinan di Madinah juga adalah contoh terbaik sebagai panduan dalam menghadapi pelbagai cabaran kini.
“Melalui kepimpinan Nabi Muhammad SAW di Madinah, Baginda meletakkan asas-asas kemadanian seperti martabat insan, prinsip keadilan dan kedaulatan hukum, nilai ilmu serta akhlak dan nilai-nilai kemanusiaan berasaskan nilai keagamaan.
“Masyarakat madani dalam erti umat yang berjaya dibentuk oleh Nabi Muhammad SAW di Madinah itu adalah khayra ummah, iaitu masyarakat atau umat unggul yang dicirikan oleh iman, nilai-nilai khayr (kebaikan), bermanfaat kepada kemanusiaan sejagat, beriltizam terhadap tanggungjawab pendaulatan nilai-nilai makruf dan pembasmian gejala mungkar,” katanya dalam hantaran melalui Facebook beliau sempena sambutan Maulidur Rasul, hari ini.
Anwar sekali gus mengajak umat Islam menghayati dan menjadikan ajaran serta warisan Baginda sebagai panduan terbaik untuk terus bekerja lebih kuat, berdisiplin dan optimis terhadap masa depan umat.
Ketika manusia dahagakan tauladan dan contoh budiman, beliau berkata, susuk Rasulullah SAW menawarkan wawasan serta aspirasi kemanusiaan yang menyerlahkan suara kejujuran dan kejernihan jiwa.
“Rasulullah SAW bukan sekadar peribadi unggul, Baginda juga simbol perpaduan dan pemimpin yang dihubungkan dengan Madinat al-Nabi yang sarat dengan nilai.
“Istilah al-Madinat al-Munawwarah pula mengisyaratkan tamadun kekotaan didasari cahaya (petunjuk wahyu) dan mengakar pada asas tauhid.
“Ia membayangkan aspirasi pembinaan kota sebagai tapak tamadun yang kemudian memberi dampak besar kepada dunia.
“Berakar kepada sunnah kenabian dan berpohon kepada rahmah Allah SWT, ayuh kita hadapi ranjau dalam kembara membina bangsa dan negara dengan contoh serta hikmah ar-Rasul,” katanya.-BH Online