Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kota Kinabalu: Barisan Nasional (BN) hanya ditawarkan lapan kerusi menerusi rundingan untuk bekerjasama pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Mendedahkan perkara itu, Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak, berkata ia punca BN membuat keputusan muktamad tidak bekerjasama dengan GRS.

Katanya, jumlah kerusi itu bertentangan dengan asas rundingan agihan kerusi, iaitu kerusi yang dimenangi pada PRN lalu mesti kekal kepada parti asal atau ‘incumbency rule’.

“Rundingan dengan GRS menjadi masalah kerana BN hanya ditawarkan lapan kerusi, sedangkan BN sebenarnya mempunyai 14 kerusi ‘incumbency’ hasil kemenangan PRN yang lalu.

“Dengar cerita ada seorang pemimpin utama parti komponen GRS yang mengatakan bahawa lapan kerusi itupun sudah terlalu banyak untuk BN.

“Kenyataan seperti ini amat menyakitkan hati kerana ia seolah-olah tidak menghormati BN serta menafikan sumbangan dan kekuatan BN di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada sidang media malam tadi, Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan keputusan muktamad BN dan UMNO Sabah tidak akan bekerjasama dengan GRS.

BN dan UMNO Sabah, katanya hanya bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRN17 Sabah yang tidak lama lagi.

Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, berkata asas rundingan juga menyatakan, jika ada pertindihan dan pertukaran kerusi, ia mesti diselesaikan melalui persetujuan atau ‘swap rule’.

“Dengan PH, rundingan berjalan lancar kerana kedua-dua pihak menghormati asas ini. Di mana terdapat pertindihan, ‘swap’ digunakan.

“Hasilnya hampir selesai, menunjukkan kesediaan BN-PH bekerjasama dalam semangat Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, BN berpendirian tegas tidak bersetuju dengan cadangan yang jelas merugikan dan tidak adil.

Katanya, pendirian itu konsisten dengan kenyataan Ahmad Zahid bahawa BN tidak akan berkompromi jika asas rundingan tidak dihormati.

“Sebenarnya, BN sentiasa terbuka kepada perbincangan dengan sesiapapun dalam suasana muafakat, dengan sentiasa mengutamakan kepentingan Sabah di atas segala-galanya,” katanya.

Jumlah 14 kerusi yang dimenangi BN ketika PRN16 Sabah pada September 2020 ialah Pantai Manis, Tanjung Keramat, Karambunai, Pantai Dalit, Usukan, Tempasuk, Bengkoka, Lamag, Sukau, Sugut, Sungai Sibuga, Sungai Manila, Balung dan Tanjung Batu.-MyMetro Online