Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA, 5 September – 420,000 naskhah Al-Quran telah diedarkan menerusi program Solidariti Wakaf Sejuta al-Quran yang bermula pada 2023.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menghargai sumbangan umat islam di negara ini yang bersama-sama menjayakannya.

Beliau turut menyeru agar budaya wakaf terus subur dalam kalangan masyarakat.

“Wakaf ini merupakan sedekah jariah yang akan berpanjangan ila yaumil qiyamah berterusan. Seluruh rakyat negara kita ini memang terkenal sebagai bangsa, rakyat yang pemurah.

“Kita menyeru apabila kita menyebut tentang Al-Quran ini sepatutnya kita lebih menjadi seorang yang pemurah,” katanya selepas merasmikan pelepasan kontena penghantaran 20,000 naskhah Al-Quran dan terjemahan bahasa Khmer ke Kemboja di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya.

Kitab suci itu akan diagihkan melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kemboja untuk memastikan masyarakat muslim di negara itu memiliki Al-Quran beserta terjemahan bahasa ibunda mereka.

Sementara itu, 230,000 naskhah tambahan sedang dicetak untuk dihantar ke Jerman, Nepal, Sepanyol, Rusia, Sweden, Amerika Syarikat, negara- negara di Amerika Selatan dan Afrika menjelang akhir tahun ini.

Inisiatif Wakaf Sejuta Al-Quran diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menyebarkan risalah Al-Quran dengan terjemahan pelbagai bahasa ke seluruh dunia.-Berita RTM