Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 4 September– Kerajaan terus optimis memperkasa golongan wanita menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata ia telah dirangka meliputi inisiatif berkaitan pekerjaan, latihan dan sokongan sosial.

Jelasnya, pelaksanaan itu dibuat dengan pendekatan yang lebih fokus serta bersasar.

“Antara inisiatif utama ialah meningkatkan kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh kepada 60 peratus dan mengembangkan sistem penjagaan sebagai intervensi langsung untuk mengurangkan halangan penjagaan yang mengekang penyertaan ekonomi wanita.

RMK13 turut menekankan untuk memperkukuh sokongan kewangan serta ekosistem keusahawanan wanita serta pemberian insentif kepada majikan dan intervensi pasaran buruh yang turut meliputi galakan ibu untuk kembali bekerja,” kata Datuk Seri Nancy di Dewan Negara, hari ini.

Tambah beliau, inisiatif itu juga sejajar dengan Dasar Wanita Negara (DWN) dalam memperkasa wanita dalam bidang ekonomi dan kepimpinan.

“Ia termasuk pengarusperdanaan gender dalam dasar dan bajet, dipantau melalui Audit Gender bagi memastikan wanita mendapat akses serta penyertaan yang adil dalam program dan projek berimpak tinggi.

Selain itu, penyertaan wanita dalam kepimpinan diperkasa melalui pelaksanaan kuota 30 peratus dalam jawatan pembuat keputusan di semua peringkat, selain meningkatkan program pembangunan kepimpinan wanita secara berterusan,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan inisiatif yang digariskan mampu direalisasikan dengan sokongan padu semua pihak demi memperkukuh peranan wanita sebagai pemacu pembangunan negara.

Beliau menjawab soalan Senator Tuan Amir Md Ghazali berhubung inisiatif dalam RMK13 untuk memperkasa wanita dalam bidang ekonomi dan kepimpinan.-BH Online