Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SERDANG: Negara perlu bersedia dengan kemunculan pelbagai ancaman keselamatan baharu yang menuntut penguasaan teknologi dalam kalangan anggota benteng pertahanan.

Paling membimbangkan, tegas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, ialah ancaman bukan tradisional yang tidak bersifat ketenteraan konvensional tetapi boleh menjejaskan keamanan negara.

“Ini termasuk penyeludupan, krisis ketidakcukupan makanan, serangan siber, fahaman ekstremisme, bencana alam, pandemik, perubahan iklim dan apa sahaja yang boleh melemahkan kestabilan negara serta mengundang perpecahan rakyat,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam ucaptama ‘Kepentingan PALAPES Ke Arah Memperkasa Angkatan Masa Hadapan’ pada Syarahan Eksekutif Menteri Pertahanan di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, hari ini.

Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.

Program anjuran bersama ATM dan UPM itu disertai 1,927 pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) merangkumi 1,098 PALAPES Darat, 431 PALAPES Laut dan 398 PALAPES Udara dari 20 universiti awam.

Mohamed Khaled berkata, Kementerian Pertahanan dan agensi di bawahnya terutama ATM perlu pantas dalam memperkukuh benteng pertahanan negara menerusi pendekatan baharu lebih menyeluruh. 

Pada masa sama, katanya, Malaysia memerlukan lebih ramai pelapis tentera dalam kalangan generasi muda yang menguasai teknologi moden, sejajar keperluan kritikalnya dalam pertahanan masa kini.

Beliau berkata, perkara itu boleh direalisasikan oleh mahasiswa yang menyertai PALAPES.

“Kemahiran kadet PALAPES diperlukan untuk menjadi barisan Angkatan Masa Hadapan (AMH) yang boleh mengendalikan peralatan moden dan teknologi terkini.

“Buat pelajar IPT (institusi pengajian tinggi) yang menyertai PALAPES, selain memiliki kemahiran asas ketenteraan, anda juga individu berpengetahuan dan berkemahiran.

“Anda adalah generasi celik teknologi yang memahami implikasi penggunaannya dalam kehidupan harian.

“Hari ini, negara memerlukan AMH ATM yang mampu dan berkeupayaan menghadapi cabaran berasaskan teknologi moden, mengambil kira ia adalah keperluan kritikal dalam pertahanan masa kini,” katanya.

Penganjuran acara ini bersempena Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet PALAPES ke-43 pada 13 September ini.-BH Online