KUALA LUMPUR, 4 September– Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerima lima aduan rasmi di platform kementerian sejak pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 pada 31 Ogos hingga 2 September lalu.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, daripada jumlah itu hanya dua aduan melibatkan isu secara langsung berkaitan SARA.
“Komitmen KPDN ialah setiap aduan rasmi yang disalurkan melalui platform kementerian akan disusuli tindakan dalam tempoh 24 jam. Aduan berkaitan bekalan dan harga akan dipantau segera, dan kita harap rakyat menyalurkan aduan di platform rasmi KPDN supaya tindakan boleh diambil dalam tempoh itu,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Anna Bell Perian di Dewan Negara hari ini.
Beliau memaklumkan, sejak 31 Ogos hingga 2 September lalu, penguat kuasa KPDN telah menjalankan pemeriksaan ke atas 8,438 premis di seluruh negara.
Menurutnya, KPDN terus mempertingkatkan penguatkuasaan bagi mengelakkan pihak tertentu mengambil kesempatan susulan pelaksanaan SARA RM100, selain turut menggerakkan pemantauan harian di 1,160 premis membabitkan 316 barangan dalam Program Pemantauan Harga.
Katanya lagi barangan di bawah senarai SARA juga termasuk dalam pemantauan harian kementerian.
Dalam pada itu, KPDN menyasarkan pelaksanaan 20,000 siri Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) tahun ini, sekali gus mencatatkan peningkatan 61 peratus berbanding tahun lalu.
Armizan berkata peningkatan itu susulan pengumuman peruntukan tambahan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 23 Julai lalu bagi memperluas pelaksanaan PJRM di seluruh negara.
“Sehingga 2 September lalu, sebanyak 1,234 rakan strategik terlibat dalam pelaksanaan PJRM, terdiri daripada pasar raya besar, pasar raya pemborong, kedai runcit, koperasi, vendor logistik, pertubuhan serta 48 pasar awam di seluruh negara,” katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Hajah Ros Suryati Alang.
Beliau berkata, penganjuran PJRM akan meliputi 222 kawasan Parlimen, 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta 40 zon di Wilayah Persekutuan, yang dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik melalui kaedah dalam premis, luar premis dan PJRM bergerak.
Bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Ogos lalu, sebanyak 15,308 siri PJRM telah berjaya dilaksanakan di seluruh negara. Pada tahun 2023, sebanyak 6,870 siri dianjurkan manakala jumlah itu meningkat kepada 12,419 siri pada tahun lalu.-Berita RTM