Tanjong Malim: Peluncuran kilang kenderaan elektrik (EV) Proton pertama di Malaysia hari ini, mencerminkan kerjasama erat Malaysia-China melalui Proton dan rakan strategiknya, Geely, sekali gus melonjakkan industri automotif negara ke tahap lebih tinggi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hasil kerjasama itu bukan sahaja membabitkan pelaburan, malah membuktikan komitmen dalam pemindahan teknologi serta penyediaan peluang untuk melatih jurutera tempatan dalam usaha menguasai teknologi automotif masa hadapan.
“Saya ucap terima kasih kepada kerajaan China kerana dalam beberapa pertemuan dengan Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Qiang, kesediaan mereka untuk bekerjasama jelas terbukti.
“Ini kerana selain memperoleh manfaat daripada kerjasama dalam industri ini, mereka juga bersedia memindahkan teknologi dan memberi ruang kepada anak-anak tempatan untuk turut terbabit,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kilang EV Proton di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang; serta Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.
Anwar berkata, pembangunan kilang EV Proton itu sejajar dengan dasar utama negara termasuk transisi tenaga, pelan induk perindustrian serta Dasar Automotif Nasional yang memberi tumpuan kepada penguasaan teknologi tinggi.
“Pelancaran kilang EV ini memenuhi beberapa dasar. Pertama, dasar iklim negara iaitu transisi tenaga. Kedua, ia juga menepati pelan induk dan hala tuju perindustrian kita, dan tentunya Dasar Automotif Nasional,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada warga kerja Proton yang menunjukkan komitmen tinggi dalam merealisasikan projek bersejarah itu.
“Terima kasih kepada semua pekerja yang menunjukkan kesungguhan, bakat dan disiplin untuk mengharumkan bukan sahaja nama syarikat, tetapi juga nama negara tercinta,” katanya.
Anwar juga berharap kereta EV Proton dapat dikeluarkan dari kilang baharu di Tanjong Malim sebelum Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober ini, bagi dipertontonkan kepada lebih 20 ketua negara yang akan hadir.-MyMetro Online