Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MELAKA: Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan tindakan tegas agensi itu dalam menangani kes buli di institusi pendidikan kendaliannya adalah berlandaskan prinsip keadilan tanpa mengira darjat, pangkat atau latar belakang keluarga pelaku dan mangsa.

“Itu jaminan saya kerana ada juga dalam kalangan mereka yang berpengaruh cuba untuk membuat rayuan. Saya tak layan kerana prinsip ini kita sudah jelaskan dari awal,” katanya.

Ditemui media selepas program bual bicara dan pelancaran Halal Learning Provider di Kolej Profesional MARA (KPM) Bandar Melaka di Jalan Hang Tuah, di sini hari ini, beliau turut memaklumkan, masih belum menerima apa-apa notis saman daripada ibu bapa pelajar yang dibuang Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) kerana terbabit kes buli.

Awal bulan lalu, Asyraf Wajdi mendedahkan ada ibu bapa yang anak mereka dibuang MRSM kerana kes buli mahu memfailkan saman (LOD) terhadapnya serta agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu, namun menegaskan beliau sentiasa bersedia jika mereka mahu bertindak demikian.

“Setakat ini, saya tidak menerima lagi LOD, namun apabila ugutan (saman) itu dibuat, saya sendiri tertanya-tanya atas asas apa yang nak disaman kerana tindakan dan proses yang kita lakukan adalah mengikut peraturan MARA,” tambahnya.

Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, walaupun sebelum ini ramai yang mempersoalkan slogan you touch you go diperkenalkannya dalam menangani kes buli, ia ternyata sekarang memberikan gambaran MARA dan kerajaan serius dalam menangani gejala berkenaan.

“Cuma kami bukannya mahkamah untuk menentukan secara tuntas bersalah atau tidak bersalah, tapi prinsip saya jelas dari awal lagi bila saya diberikan amanah sebagai Pengerusi MARA iaitu you touch you go,” katanya-BH Online