Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khusus bagi golongan orang kurang upaya (OKU), akan dipertimbangkan sebagai antara agenda Belanjawan 2026.

Ia adalah antara cadangan dikemukakan pada Sesi Dialog Belanjawan 2026 Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, saranan itu akan dibawa ke Majlis TVET Negara sebelum dikemukakan kepada Kementerian Kewangan.

“Suatu yang agak berlainan kali ini ialah cadangan supaya TVET diadakan khusus untuk golongan OKU. Saya akan membawa perkara ini ke Majlis TVET dan mengemukakannya kepada Kementerian Kewangan untuk dijadikan salah satu agenda dalam ucapan Belanjawan pada 10 Oktober depan.

“Yang penting, masyarakat OKU dan golongan istimewa ini harus diberi peluang sama rata dan kursus-kursus yang bersesuaian dengan cita rasa mereka serta bertepatan kehendak pasaran.

“Cadangan lain yang turut dikemukakan ialah membuka akses TVET kepada pelajar sekolah pondok sebagaimana kita lakukan untuk maahad tahfiz. Perkara ini akan diteliti bersama pelajar sekolah agama rakyat pada peringkat negeri sebagaimana dicadangkan tadi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi dialog yang diadakan secara tertutup di sini.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata, terdapat cadangan supaya mewujudkan program TVET Maritim di Pantai Timur bagi melatih belia dalam bidang kelautan dan keusahawanan laut dalam.

“Paling menarik ialah mereka mohon supaya kursus TVET Maritim diadakan, bersesuaian dengan ekosistem di negeri-negeri Pantai Timur, terutama untuk mempertingkatkan kemampuan pembabitan anak-anak muda dalam maritim.

“Ertinya, bukan hanya sebagai nelayan kecil-kecilan tetapi nelayan laut dalam di mana mereka menjadi usahawan… mereka diberikan latihan TVET dalam bidang kelautan,” katanya.

Walaupun sudah ada fakulti berkait bidang kelautan di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di Lumut, Perak, beliau berkata, cadangan mewujudkan TVET Maritim di Pantai Timur harus dipertimbangkan mengikut kesesuaian.

“Nelayan jangan hanya menjadi nelayan tetapi nelayan yang menjadi usahawan, terutama nelayan di laut dalam, dan ini amat mencabar tetapi boleh dilaksanakan,” katanya.-BH Online