KUALA LUMPUR: UMNO menubuhkan pasukan khas parti itu bagi meneliti penambahbaikan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang dibentang di Dewan Rakyat sebelum ini.
Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pasukan itu akan diketuai Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
“Pasukan khas ini bertanggungjawab meneliti dan memperhalusi setiap aspek RUU URA secara terperinci sebelum dibentangkan pada Konvensyen Melayu Bandar.
“Konvensyen Melayu Bandar ini bakal membabitkan kepimpinan tertinggi UMNO dari negeri dan bahagian seluruh Malaysia, parti politik Melayu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik dan masyarakat sivil yang akan diadakan pada hujung bulan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, resolusi Konvensyen Melayu Bandar kelak akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
RUU URA tidak diluluskan di Dewan Rakyat yang persidangannya berakhir minggu lalu, sebaliknya ditangguhkan dan dibawa ke persidangan berikutnya.
Ketika dibentangkan bagi bacaan kali kedua oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming pada minggu lalu, RUU URA menyaksikan pindaan baharu berhubung nilai ambang persetujuan untuk menyertai projek pembaharuan semula bandar.
Kor Ming berkata, pindaan pada Fasal 19 itu bagi menghormati dan menyantuni pandangan Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi Dewan Rakyat melalui sesi perbincangan khas pada 21 Ogos lalu.
Beliau berkata, semua nilai ambang itu diseragamkan ke paras 80 peratus tanpa mengira usia bangunan dengan kenaikan nilai daripada 75 peratus masih dalam lingkungan yang wajar untuk memberikan ruang pertimbangan bagi melaksanakan projek pembaharuan semula bandar secara berintegriti dan adil untuk pihak terbabit.
RUU URA sebelum ini dibantah beberapa pihak termasuk Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, termasuk gesaan supaya ia dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen sebelum kelulusannya dibuat di Dewan Rakyat.-BH Online